Terapi kognitif dan tingkah laku yang berasaskan Internet untuk gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) dalam kalangan dewasa

Mengapa ulasan ini penting?

Gangguan tekanan pasca trauma, atau PTSD ialah penyakit mental yang lazim berlaku selepas sesuatu trauma yang serius. Ciri-cirinya termasuklah mengalami semula trauma seperti mimpi buruk, imbasan kembali dan gangguan perasaan yang menyedihkan; mengelak ingatan kejadian traumatik; mengalami perubahan negatif kepada fikiran dan mood; ‘hyperarousal’ termasuk rasa gelisah, mudah terkejut, rasa marah, sukar tidur dan masalah menumpukan perhatian. PSTD boleh dirawat dengan berkesan melalui terapi bercakap yang memfokuskan trauma. Di antara terapi yang paling berkesan ialah terapi yang berasaskan kognitif dan tingkah laku (CBT). Malangnya, bilangan ahli terapi yang berkelayakan untuk menyampaikan terapi tersebut adalah terhad. Terdapat juga faktor-faktor lain yang menghadkan akses kepada rawatan, seperti meluangkan masa dari bekerja untuk menghadiri temujanji dan isu pengangkutan.

Satu cara alternatif adalah terapi melalui internet dengan bimbingan atau tanpa bimbingan ahli terapi. Terapi kognitif dan tingkah laku berasaskan internet (I-C/BT) telah mendapat perhatian yang meluas dan kini diguna secara rutin untuk merawat kemurungan dan keresahan. Terdapat kurang kajian-kajian tentang I-C/BT untuk PTSD dan kami tidak tahu sama ada ia berkesan.

Siapakah yang berminat dalam ulasan ini?

• Orang dengan PTSD dan orang yang mengasihi mereka.

• Profesional yang bekerja di perkhidmatan kesihatan mental.

• Pengamal perubatan umum

• Pesuruhajaya

Apakah soalan yang cuba dijawab oleh ulasan ini?

Dalam kalangan dewasa PTSD, kami cuba menyelidik sama ada I-C/BT:

• lebih berkesan berbanding tiada terapi (senari menunggu)

• sama berkesan seperti terapi psikologi yang diberi oleh ahli terapi;

• lebih berkesan daripada terapi psikologi lain yang diberi atas talian internet; atau

• lebih berkesan daripada pendidikan tentang keadaan yang disampaikan atas talian untuk mengurangkan gejala-gejala PTSD dan memperbaiki kualiti hidup; atau

kos efektif berbanding terapi bersemuka?

Kajian mana yang telah dimasukkan ke dalam ulasan ini?

Kami mencari kajian-kajian rawak terkawal (kajian-kajian klinikal di mana peserta dibahagikan ke dalam satu daripada dua ataupun lebih kumpulan rawatan secara rawak) yang menilai I-C/BT dalam kalangan PSTD dewasa, yang diterbitkan di antara 1970 dan 2 Mac 2018.

Kami memasukkan 10 kajian yang melibatkan 720 peserta.

Apakah bukti dalam ulasan ini?

Bukti berkualiti sangat rendah daripada lapan kajian mendapati I-C/BT lebih berkesan daripada tiada terapi (senarai menunggu) dalam mengurangkan gejala-gejala PTSD.

Bukti berkualiti sangat rendah daripada dua kajian mendapati tiada perbezaan signifikan di antara I-C/BT dan terapi psikologi lain yang disampaikan atas talian.

• Kami tidak menemui kajian yang membandingkan I-C/BT dengan terapi psikologi yang disampaikan oleh ahli terapi atau pendidikan tentang keadaan tersebut yang disampaikan melalui talian.

• Kami tidak menemui bukti yang dapat menerangkan sama ada orang yang menerima I-C/BT berasa ia adalah rawatan yang boleh diterima, atau sama ada rawatan ini berkesan untuk memperbaiki kualiti hidup.

• Kami tidak menemui kajian yang melaporkan keberkesanan kos I-C/BT

Apakah yang harus berlaku seterusnya?

Pangkalan data terkini adalah kecil. Lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan sama ada I-C/BT patut digunakan sebagai rawatan rutin PTSD.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi (Chris_ZY@live.com)

Tools
Information
Share/Save