Mesej-mesej utama
• Sekolah dan kakitangan mereka dapat melaksanakan intervensi dengan lebih baik untuk menangani pemakanan sihat, aktiviti fizikal, obesiti dan penggunaan rokok atau alkohol para pelajar, apabila strategi-strategi diguna menyokong mereka berbuat demikian.
• Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk memahami strategi individu yang terbaik bagi menyokong sekolah dan kakitangan mereka melaksanakan intervensi-intervensi.
• Tiada kesan tidak diingini dengan menyediakan sokongan pelaksanaan kepada sekolah yang telah dikenal pasti dalam kajian-kajian setakat ini, dan informasi tentang kos adalah terhad.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu keberkesanan strategi-strategi dalam menyokong pelaksanaan intervensi berasaskan sekolah untuk menangani pemakanan, aktiviti fizikal , obesiti, penggunaan rokok dan/atau penggunaan alkohol dalam kalangan pelajar (berumur 5 hingga 18 tahun). Contohnya, sama ada pendidikan dan latihan pengusaha kantin sekolah (pelaksanaan strategi) boleh memperbaik pelaksanaan dasar kantin sihat (intervensi) untuk mengurangkan makanan tidak berkhasiat (hasil pelaksanaan) dan memperbaik diet pelajar. Kami juga ingin tahu sama ada ia ada sebarang kesan sampingan dan jika ia lebih kos efektif. Contoh strategi termasuk kaedah-kaedah memperbaik kualiti, maklum balas tentang prestasi sekolah, gesaan dan peringatan, serta sumber pendidikan (cth. manual).
Apakah yang kami lakukan?
Kami mengemas kini carian terdahulu yang telah dijalankan untuk kajian-kajian yang membandingkan penggunaan strategi bagi menyokong pelaksanaan intervensi dalam kalangan mereka yang belum melaksanakan, atau yang membandingkan dua atau lebih strategi pelaksanaan yang berbeza. Kajian-kajian melihat kepada strategi untuk menyokong pelaksanaan intervensi di sekolah yang menangani diet, aktiviti fizikal, obesiti, penggunaan rokok dan/atau alkohol pelajar. Kami membanding dan merumuskan keputusan dan menilai keyakinan terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami mendapati 14 kajian baru untuk ditambah kepada carian terdahulu, menjadikan jumlah keseluruhan kajian yang disertakan kepada 39 dengan 6489 peserta. Kebanyakannya dijalankan di Australia dan Amerika Syarikat dan kebanyakannya mengkaji strategi untuk melaksana intervensi pemakanan sihat serta/atau aktiviti fizikal. Kami mendapati, berbanding kawalan, penggunaan pelaksanaan strategi mungkin menghasilkan peningkatan besar dalam pelaksanaan pemakanan sihat, diet, aktiviti fizikal, obesiti, penggunaan rokok dan/atau alkohol intervensi di sekolah. Terdapat semakin banyak bilangan kajian menilai kesan buruk yang berpotensi untuk sekolah, kakitangan atau pelajar dan tiada yang mengenal pasti sebarang kesan buruk . Beberapa kajian menilai manfaat ekonomi penggunaan strategi sokongan pelaksanaan intervensi; walau bagaimanapun, keputusannya tidak muktamad.
Apakah batasan bukti?
Walaupun ulasan kami menunjukkan penggunaan strategi pelaksanaan mungkin menghasilkan peningkatan yang besar dalam pelaksanaan program, kajian-kajian menggunakan kaedah yang mungkin menimbulkan ralat dalam keputusannya dan kebanyakkannya dijalankan di dua negara (Australia dan Amerika Syarikat). Oleh itu, kami sederhana yakin strategi-strategi yang menyokong pelaksanaan akan memperbaik pelaksanaan intervensi di sekolah.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Kami mencari pangkalan data antara 1 Mei 2021 dan 30 Jun 2023.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).