Adakah membersihkan ulser vena di kaki membantu ulser itu sembuh?

Latarbelakang

Ulser kaki adalah luka terbuka di kulit yang terjadi di bawah lutut, biasanya kerana aliran darah yang kurang di bahagian bawah kaki. Ini boleh berlaku kerana terjadinya sumbatan di dalam saluran darah disebabkan oleh berlakunya darah beku yang kecil. Ia juga boleh berlaku apabila injap (flaps) pada salur vena yang menghalang aliran darah ke belakang semula tidak berfungsi dengan baik. Aliran darah yang lemah dan kurang merosakkan kulit dan tisu, dan ini yang menyebabkan ulser vena di kaki.

Ulser buruk dipandang dan boleh menjadi sakit atau dijangkiti kuman. Rata-rata, ulser memerlukan masa dari enam hingga sembilan bulan untuk sembuh. Walau bagaimanapun, beberapa ulser boleh memakan masa bertahun-tahun untuk sembuh, dan sebilangan kecil tidak pernah sembuh sepenuhmya. Walaupun begitu setelah ulser sembuh, ianya boleh berlaku lagi ditempat yang sama atau ditempat lain.

Rawatan utama untuk ulser vena di kaki adalah dengan menggunakan pembalut atau stoking yang memampatkan kaki (terapi mampatan), untuk meningkatkan aliran darah di dalam vena. Membersihkan luka juga adalah faktor yang penting dalam membantu penyembuhan. Pelbagai jenis larutan pembersih boleh digunakan, termasuk: garam biasa; air; antiseptik (larutan yang menghentikan atau melambatkan pertumbuhan mikro-organisma seperti bakteria); bahan pencuci (larutan yang menghilangkan bakteria dan kotoran); atau pembasmi kuman (larutan seperti peluntur, yang membunuh mikro-organisma).

Larutan pembersih boleh digunakan pada ulser dengan menggunakan swab (mirip dengan putik kapas), picagari dengan jarum, atau botol penyembur. Ulser boleh dimandikan dalam larutan pembersih, menggunakan besen atau baldi, atau ketika mandi. Pembersihan boleh menyebabkan rasa tidak selesa, dan mungkin menyakitkan.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu:

- sama ada membersihkan ulser vena di kaki membantu saiz mereka menjadi lebih kecil dan kemudiannya sembuh;

- sama ada jenis larutan pembersihan yang berbeza, atau kaedah penggunaan larutan yang berbeza, lebih berkesan daripada yang lain;

- larutan pembersih mana yang digemari oleh orang ramai dan paling senang digunakan;

- sama ada membersihkan luka mempunyai kesan terhadap kualiti hidup;

- berapa kos pembersihan luka; dan

- sama ada membersihkan luka dikaitkan dengan kesan buruk (tidak diingini) seperti sakit, jangkitan kuman atau kerosakan kulit.

Kaedah kami

Pertama,kami mencari kajian rawak terkawal (kajian perubatan di mana rawatan atau penjagaan yang diterima oleh pesakit adalah dipilih secara rawak). Kajian jenis ini memberikan bukti perawatan yang sangat boleh dipercayai mengenai kesan rawatan. Kami kemudiannya membandingkan hasil-hasil yang dilaporkan dan merumuskan kekuatan bukti dari semua kajian. Akhirnya, kami menilai keyakinan kami terhadap bukti tersebut, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajianj yang digunakan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi semua kajian.

Apa yang kami temui

Kami menemui empat kajian yang melibatkan seramai 254 orang yang menghidap ulser vena di kaki. Seramai 108 lelaki dan 144 wanita yang terlibat, semuanya berusia lebih 18 tahun (maklumat mengenai jantina hilang untuk dua orang).

Kajian-kajian itu membandingkan kesan-kesan:

- agen pembasmi kuman dan antiseptik (polyhexamethylene biguanide) yang digunakan menggunakan picagari dengan jarum untuk menyiram (menyiram) ulser dengan cecair, berbanding larutan garam (garam);

- semburan lembut agen peluntur dan antiseptik (peroksida oksigen berair, iaitu ozon yang dilarutkan dalam air), berbanding air steril;

- bahan cuci (propyl betaine yang digabungkan dengan polyhexanide), berbanding larutan garam - kaedah penggunaan tidak dilaporkan; dan

- antiseptik (octenidine dihydrochloride digabungkan dengan phenoxyethanol) yang disembur pada luka, berbanding larutan beberapa jenis garam yang dilarutkan di dalam air (larutan Ringer).

Tidak ada kajian membandingkan pembersihan dengan tanpa pembersihan, atau membandingkan kaedah pembersihan yang berbeza.

Kami tidak dapat mengetahui sama ada membersihkan luka bermanfaat ataupun menyebabkan kesan yang tidak diingini. Ini kerana kami mempunyai keyakinan yang sangat rendah terhadap bukti yang ada mengenai penyembuhan, perubahan ukuran ulser, kesakitan dan kesan yang tidak diingini. Tidak ada kajian yang dilaporkan mengenai pilihan pesakit, kemudahan penggunaan, kos atau kesan terhadap kualiti hidup.

Apakah maksudnya?

Kami tidak tahu sama ada larutan pembersih lebih baik daripada larutan air steril atau larutan garam untuk membantu penyembuhan ulser vena di kaki, atau sama ada pilihan larutan pembersih atau kaedah penggunaan memberi perbezaan kepada penyembuhan ulser vena di kaki. Keyakinan kami terhadap bukti yang ada adalah sangat rendah. Hasil ulasan kami mungkin berubah jika ada lebih banyak bukti didapati nanti.

Sejauh mana ulasan ini dikemas kini?

Bukti kajian dalam Ulasan Cochrane ini sehingga September 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nor Amirah Mohd Shukor. Di sunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rscsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save