Penggunaan mesin untuk memelihara ginjal yang dikeluarkan daripada penderma yang meninggal dunia sebelum pemindahan dilakukan

Apakah isunya?

Pemindahan ginjal ialah rawatan terbaik untuk pesakit buah pinggang peringkat akhir. Walau bagaimanapun, jumlah organ yang didermakan tidak mencukupi untuk semua pesakit buah pinggang. Selain itu, semasa ginjal yang didermakan berada di luar badan, ia akan mengalami kekurangan oksigen, dan peredaran yang terhenti menyebabkan gumpalan kecil berlaku dan menyebabkan organ itu rosak. Kerosakan ini kekal menjadi penghalang utama pemindahan organ kerana menjadikan banyak organ tidak dapat digunakan dan dikaitkan dengan penurunan survival buah pinggang yang dipindahkan. Secara tradisional, ginjal disimpan di dalam ais (diistilahkan sebagai penyimpanan sejuk statik). Mesin yang mendorong penyelesaian sejuk (hipotermik mesin perfusi) atau hangat (perfusi mesin normotermik) melalui ginjal yang disumbangkan bertujuan untuk mengurangkan kerosakan yang terjadi semasa pengangkutan dan oleh itu dapat meningkatkan hasil yang baik untuk ginjal ini.

Apakah yang kami lakukan?

Kami menjalankan pencarian yang teliti untuk kajian yang membandingkan perfusi mesin hipotermik, perfusi mesin normotermik dan penyimpanan sejuk statik yang standard. Data daripada kajian yang dikenalpasti kemudiannya digabungkan untuk analisis lebih lanjut. Hasil utama kajian adalah kadar fungsi graf tertunda (DGF) (bilangan pesakit yang memerlukan sokongan dialisis tambahan pada minggu selepas pemindahan). Hasil sekunder yang utama adalah survival ginjal selama satu tahun (bilangan ginjal yang dipindahkan yang terus berfungsi dalam tempoh satu tahun).

Apakah yang kami dapati?

Sebanyak enambelas kajian (2266 peserta) membandingkan perfusi mesin hipotermik dengan penyimpanan sejuk statik telah dikenalpasti. Penggunaan perfusi mesin hipotermik dan bukannya penyimpanan sejuk statik yang standard mengurangkan risiko DGF sebanyak kira-kira 23%. Dua laporan telah membuat analisis ekonomi, di Amerika Syarikat dan Eropah, dan kedua-duanya telah menganggarkan penjimatan kos dengan penggunaan perfusi mesin hipotermik. Dua kajian melaporkan bahawa perfusi mesin hipotermik memanjangkan tempoh masa survival ginjal yang didermakan di dalam badan penerima. Walau bagaimanapun, kami tidak dapat melakukan analisis untuk mengesahkan perkara ini. Kesan HMP terhadap hasil lain (kejadian penolakan akut, survival pesakit, tempoh rawatan di hospital, fungsi ginjal jangka panjang, tempoh DGF) tetap tidak dapat dipastikan.

Tidak ada kajian yang telah selesai yang menyiasat perfusi mesin normotermik yang dikenalpasti, selain satu kajian yang sedang berjalan.

Kesimpulan

Berbanding dengan penyimpanan sejuk statik standard, perfusi mesin hipotermik mengurangkan kadar DGF ginjal daripada penderma yang meninggal dunia, serta berkemungkinan meningkatan survival ginjal yang dipindahkan dan penjimatan kos secara keseluruhan. Kajian yang meneliti perfusi mesin normotermik diperlukan untuk menilai sama ada kaedah ini dapat mencatatkan hasil yang lebih baik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Maizura Mohamad (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Siti Fatimah Kader Maideen (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information