Hipotensi terkawal berbanding strategi resusitasi ‘normotensive’ untuk orang dengan aneurisme aorta abdomen

Latar belakang

Aneurisme aorta abdomen (AAA) adalah pembengkakan (aneurisme) aorta, saluran darah utama yang keluar dari jantung dan melalui abdomen ke seluruh badan. Ia boleh terjadi dalam kalangan lelaki dan wanita. Aneurisme yang membesar boleh pecah (ruptur), mengakibatkan kehilangan banyak darah dan renjatan. Keadaan ini fatal dan menyebab kematian sekurang-kurangnya 45 orang per 100,000 populasi.

Satu opsyen untuk membetulkan AAA yang ruptur ialah membuka perut dan meletakkan tiub graf di dalam aorta (pembaikan terbuka); pendekatan kedua ialah meletakkan sten graf di dalam aorta melalui arteri besar di peha (arteri femoral; pembaikan endovaskular).

Ulasan ini memfokus kepada pengurusan awal perdarahan dan tekanan darah rendah yang disebabkan oleh aneurisma yang ruptur, juga dikenali sebagai renjatan hemoragik. Pesakit umumnya diberi laratan salina intravena (memberi ubat atau cecair melalui jarum atau tiub yang dimasukkan ke dalam vena) di bilik kecemasan atau pusat pembedahan untuk mengembalikan isipadu edaran darah.

Penggantian pantas cecair segera memulihkan tekanan darah normal. Ia dikenali sebagai strategi resusitasi ‘normotensive’ dan boleh meningkatan perdarahan kerana klot boleh dikeluarkan dan faktor koagulasi dalam darah boleh menjadi cair. Pendekatan alternatif adalah strategi resusitasi hipotensi terkawal (permisif). Strategi ini terdiri daripada penggantian cecair, penggunaan ubat, atau kedua-duanya, untuk mengekalkan tekanan darah sistolik antara 50 mmHg dan 100 mmHg, sehingga aneurisme dibaiki dengan pembedahan terbuka atau pembaikan endovaskular. Strategi ini mungkin berkesan kerana ia tidak memasukkan isipadu besar larutan salina sejuk dan seterusnya mengelakkan hasil yang tersenarai di atas.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Kami mencari bukti yang membanding terus strategi untuk menguruskan renjatan hemoragik dan mengembalikan tekanan darah normal permulaan, dan semasa pembedahan, dalam kalangan pesakit dengan ruptur AAA . Carian kami sehingga Ogos 2017, tidak mengenal pasti sebarang kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang secara rawak dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan; salah satunya ialah kumpulan kawalan) dan memenuhi kriteria kami. Kajian diperlukan untuk membantu doktor kecemasan, pakar bedah vaskular, dan pakar anestesiologi memilih opsyen terbaik untuk merawat renjatan hemoragik akibat ruptur aneurisme aorta abdomen.

Kualiti bukti

Kami tidak mendapati kajian rawak terkawal yang memenuhi kriteria kami.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi linoby@uitm.edu.my.

Tools
Information
Share/Save