Antibiotik sistemik untuk rawatan luka malignan

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti tentang kesan antibiotik sistemik pada luka yang malignan. Kami mencari bukti yang berkaitan dengan kesan sampingan rawatan ini, dan kesan ke atas kualiti hidup dan gejala-gejala lain.

Latar belakang

Luka malignan berlaku dalam orang yang mempunyai kanser lanjutan. Mereka biasanya berlaku dalam enam bulan terakhir hayat seseorang pesaki kanser, pada atau berhampiran tapak tumor. Ia berlaku apabila tumor merebak and menyerang persekitaran kulit and saluran darah, mengakibatkan kerosakan. Kawasan ini kehilangan khasiat disebabkan aliran darah yang kurang, menyebabkan kematian tisu, mengakibatkan luka malignan. Luka jenis ini boleh menjadi sangat sakit, boleh berbau, dan boleh berdarah atau bercecair. Gejala-gejala ini amat menyusahkan bagi pesakit kanser lanjutan. Rawatan untuk luka malignan biasanya tidak bertujuan untuk menyembuhkan luka, tetapi untuk menyekat gejala-gejala yang menjejaskan kualiti hidup pesakit.

Antibiotik ialah ubat yang melawan jangkitan bakteria. Antibiotik sistemik memberi kesan ke seluruh badan. Antibiotik ini boleh diberi melalui mulut dalam bentuk tablet, atau dengan cara lain seperti melalui suntikan. Kami mencari bukti sama ada antibiotik sistemik boleh menghalang luka malignan dari menjadi semakin teruk, dan membantu mengurangkan bau, kesakitan dan komplikasi lain yang berkaitan dengan luka ini.

Ciri-ciri kajian

Pada Mac 2017, kami mencari kajian terkawal rawak yang menilai kesan antibiotik sistemik pada luka yang malignan. Kami mendapati hanya satu kajian, dari tahun 1984, yang membandingkan keberkesanan antibiotik metronidazole dengan plasebo (pil gula) pada enam peserta dengan luka malignan akibat kanser payudara. Kajian ini merupakan kajian'cross-over' yang bermaksud peserta menerima kedua-dua rawatan yang diuji dan rawatan perbandingan, pada masa yang berbeza, dengan masa rehat antara rawatan untuk memastikan bahawa kesan-kesan rawatan pertama telah hilang sebelum rawatan kedua diambil. Ini dipanggil tempoh 'washout'. Dalam kajian tunggal dalam ulasan ini, setengah peserta mengambil antibiotik selama 14 hari dahulu dan setengah peserta yang lain mengambil placebo. Kedua-dua kumpulan kemudian tidak menerima apa-apa ubat-ubatan selama 14 hari sebelum pertukaran(cross-over) dan mencuba rawatan alternatif selama 14 hari lagi.

Hasil utama

Ia tidak jelas sama ada metronidazole mengurangkan bau luka malignan apabila diambil secara oral (melalui mulut) dalam bentuk tablet, tanpa sebarang kesan sampingan. Keberkesanannya terhadap hasil lain seperti sakit atau kualiti hidup tidak diukur dalam kajian ini. Tiada perubahan dalam saiz dan penampilan tumor peserta dilaporkan.

Kualiti bukti

Kami tidak dapat mengenalpasti sama ada metronidazole mengurangkan bau luka malignan apabila diambil secara lisanmelalui mulut dalam bentuk tablet kerana kualiti bukti adalah sangat rendah. Bukti ini didapati dari satu kajian yang sangat kecil dengan kelemahan reka bentuk kajian yang serius. Lebih banyak kajian yang melibatkan lebih ramai orang dengan pelbagai jenis kanser diperlukan. Kajian yang menilai bagaimana antibiotik boleh memberi kesan ke atas hasil kajian lain, seperti kualiti hidup, kelegaan kesakitan dan pengurangkan pendarahan atau cecair dari luka juga diperlukan.

Ringkasan bahasa biasa ini dikemas kini sehingga Mac 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ting Ling Kweh (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi tlkweh@ms.pmc.edu.my

Tools
Information