Faktor pertumbuhan endotelial anti-vaskular (anti-VEGF) digabung dengan steroid intravitreus untuk edema makular diabetes

Apakah matlamat ulasan ini?
Tujuan Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada suntikan kombinasi dua ubat (perencat VEGF dan steroid) ke dalam jeli vitreus mata yang mengalami edema makular (bengkak pada pusat retina) akibat diabetes adalah lebih baik berbanding rawatan dengan satu ubat sahaja.

Mesej-mesej utama
Tiada cukup bukti untuk menunjukkan kombinasi dua ubat lebih baik berbanding rawatan dengan satu ubat sahaja.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Edema makular diabetes ialah kebengkakan di bahagian belakang mata (retina) dalam orang dengan diabetes. Ia adalah penyebab utama kehilangan visual perolehan terutama dalam kalangan populasi umur bekerja.

Kedua-dua steroid dan ejen anti-VEGF, yang disuntik ke dalam jeli vitreus mata (intravitreus), memperbaiki penglihatan dan mengurangkan amaun cecair uang terkumpul di pusat retina. Ubat-ubatan ini mempunyai mekanisme tindakan yang berbeza dan mungkin berkesan dengan baik dalam kombinasi, dengan implikasi yang ketara dalam memperbaiki hasil pesakit. Walau bagaimanapun, jika tiada manfaat tambahan terapi kombinasi, orang mungkin berpotensi terdedah kepada kesan-kesan sampingan yang tidak diingini seperti katarak, glaukoma, strok dan serangan jantung.

Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?
Penulis Ulasan Cochrane menemui lapan kajian yang relevan. Tiga kajian adalah dari Iran, dua dari AS dan satu dari Brazil, Republik Czech dan Korea Selatan. Kajian-kajian ini membandingkan anti-VEGF (dalam kebanyakan kajian versi tidak berlesen dipanggil bevacizumab) ditambah dengan agen steroid intravitreus berbanding anti-VEGF sahaja, steroid intravitreus sahaja atau laser makular sahaja.

Kami menemui bukti yang tidak cukup untuk menunjukkan bahawa kedua-dua kelas ubat idalam kombinasi adalah lebih baik daripada rawatan dengan satu kelas ubat sahaja sebagai rawatan awal untuk edema makula diabetes. Tambahan pula, terdapat risiko lebih tinggi untuk menyebabkan tekanan intraokular dan katarak dalam kalangan orang yang menerima anti-VEGF ditambah steroid berbanding anti-VEGF sahaja.

Adakah ulasan ini terkini?
Penulis Ulasan Cochrane mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga 21 Februari 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi (Chris_ZY@live.com)

Tools
Information
Share/Save