Terapi tingkah laku kognitif berasaskan internet dengan sokongan ahli terapi untuk keresahan dalam kalangan dewasa: ulasan bukti

Siapakah yang mungkin berminat dengan ulasan ini?

Orang yang menderita kegelisahan dan keluarga mereka.

Pengamal perubatan umum.

Profesional yang bekerja di perkhidmatan terapi psikologi.

Pembina terapi berasaskan internet untuk masalah kesihatan mental.

Mengapa ulasan ini penting?

Ramai orang dewasa menderita kecelaruan keresahan yang memberi impak besar terhadap kehidupan harian mereka. Kecelaruan keresahan sering menyebabkan kos penjagaan kesihatan dan kos yang tinggi kepada masyarakat kerana ketidakhadiran ke tempat kerja dan pengurangan kualiti hidup. Penyelidikan telah menunjukkan terapi tingkah laku kognitif (CBT) adalah rawatan berkesan yang membantu mengurangkan keresahan. Walau bagaimanapun, ramai orang tidak mampu mengakses CBT bersemuka kerana senarai menunggu yang panjang, kekurangan waktu untuk temu janji, masalah pengangkutan, dan bilangan ahli terapi berkelayakan yang terhad.

CBT berasaskan internet (ICBT) menyediakan penyelesaian yang mungkin untuk mengatasi banyak halangan kepada akses terapi bersemuka. Ahli terapi boleh memberi sokongan kepada pesakit yang mengakses terapi berasaskan internet melalui telefon atau e-mel. Diharapkan ia dapat menyediakan satu cara untuk meningkatkan akses kepada CBT, terutama bagi orang yang tinggal di kawasan luar bandar. Masih belum diketahui sama ada ICBT dengan sokongan ahli terapi berkesan mengurangkan kecelaruan keresahan.

Apakah soalan-soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?

Ulasan ini bertujuan meringkaskan penyelidikan semasa untuk mengetahui sama ada ICBT dengan sokongan ahli terapi adalah rawatan yang berkesan untuk keresahan.

Ulasan ini bertujuan untuk menjawab soalan-soalan berikut:

- adakah ICBT dengan sokongan ahli terapi lebih berkesan berbanding tiada rawatan (senarai menunggu)?

- berapa berkesan ICBT dengan sokongan ahli terapi berbanding CBT bersemuka?

- berapa berkesan ICBT dengan sokongan ahli terapi berbanding CBT tanpa panduan (bantu diri tanpa input ahli terapi)?

- apakah kualiti penyelidikan semasa tentang ICBT dengan sokongan ahli terapi untuk keresahan?

Kajian mana yang dimasukkan dalam ulasan ini?

Pangkalan data dicari untuk mendapatkan semua kajian berkualiti tinggi tentang ICBT dengan sokongan ahli terapi untuk keresahan yang diterbitkan sehingga Mac 2015. Untuk dimasukkan dalam ulasan, kajian-kajian mestilah rawak terkawal yang melibatkan dewasa 18 tahun ke atas dengan kecelaruan keresahan sebagai diagnosis utama; 38 kajian dengan 3214 peserta dimasukkan dalam ulasan ini.

Apakah maklumat yang diperolehi daripada bukti ulasan ini memberitahu kami?

ICBT dengan sokongan ahli terapi jauh lebih berkesan berbanding tiada rawatan (senarai menunggu) untuk memperbaik keresahan dan mengurangkan gejala. Kualiti bukti adalah rendah hingga sederhana.

Tiada perbezaan signifikan dalam keberkesanan ICBT dengan sokongan ahli terapi berbanding CBT tanpa panduan walaupun kualiti bukti sangat rendah. Kepuasan pesakit umumnya dilaporkan lebih tinggi dengan ICBT yang disokong oleh ahli terapi, walau bagaimanapun kepuasan pesakit tidak dinilai secara formal.

ICBT dengan sokongan ahli terapi mungkin tidak berbeza keberkesanannya berbanding CBT bersemuka. Kualiti bukti adalah rendah.

Terdapat risiko bias rendah dalam kajian-kajian yang disertakan, kecuali dalam pembutaan peserta, personel, dan penilaian hasil. Peristiwa buruk jarang dilaporkan dalam kajian-kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, graduate class of 2020). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information