Bagi kanak-kanak yang menghidap penyakit hati, yang mempunyai vena yang lebih besar dalam esofagus (saluran makanan), adakah dengan meletakkan gelang elastik di sekeliling vena mencegah pendarahan?

Pendarahan dalam esofagus
Gumpalan darah pada vena yang mengalirkan darah dari saluran pencernaan ke hati (dikenali sebagai trombosis vena portal) menyebabkan peningkatan tekanan dalam vena ini. Peningkatan tekanan darah dalam vena yang membekalkan darah ke hati juga lazim berlaku dalam penyakit hati yang serius. Peningkatan tekanan menjadikan vena di esofagus (saluran yang bersambung dari kerongkong ke perut) bengkak dan membesar. Pendarahan yang disebabkan oleh vena yang membesar dalam esofagus merupakan keadaan yang mengancam nyawa.

Bagaimanakah vena yang membesar dalam esofagus dirawat?
Pada orang dewasa, kajian menunjukkan dua rawatan berfungsi dengan baik untuk merawat pendarahan dari vena yang membesar:

- mengambil ubat yang dipanggil penghalang beta; dan
- meletakkan gelang elastik di sekeliling vena untuk memotong aliran darah yang melaluinya.

Kedua-dua rawatan ini telah menjadi kaedah utama untuk mencegah pendarahan pada vena yang membesar dalam esofagus dalam kalangan orang dewasa. Walau bagaimanapun, kami tidak tahu sejauh mana rawatan ini berkesan pada kanak-kanak dan orang muda, atau jika ia boleh menyebabkan kesan atau bahaya yang tidak diingini.

Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini
Kami ingin menilai faedah dan bahaya memasang gelang elastik di keliling vena yang membesar untuk mengelakkannya dari pendarahan, dalam kanak-kanak yang menghidap penyakit hati yang berpanjangan atau trombosis vena portal.

Apakah yang kami lakukan
Kami mencari kajian yang menguji kesan memasang gelang elastik di keliling vena yang membesar di esofagus untuk mencegahnya dari pendarahan, berbanding rawatan palsu (prosedur yang sama, tetapi tidak ada jalur yang diletakkan) atau tiada rawatan yang dilakukan, dalam kanak-kanak yang menghidap penyakit hati yang berpanjangan atau trombosis vena portal.

Kami mencari kajian klinikal rawak, di mana peserta yang terlibat diletakkan secara rawak ke dalam kumpulan intervensi yang berbeza. Kajian jenis ini, jika dijalankan dengan betul, biasanya memberikan bukti yang paling boleh dipercayai tentang kesan rawatan.

Kami ingin tahu tentang:

- jumlah kanak-kanak yang mati;

- jumlah kanak-kanak yang mengalami kesan tidak diingini yang serius (kesan yang dianggap mengancam nyawa atau yang memerlukan rawatan di hospital) atau penyakit yang berkaitan dengan hati;

- kesejahteraan kanak-kanak (kualiti hidup);

- jumlah kanak-kanak yang mengalami pendarahan esofagus; dan

- jumlah kanak-kanak yang mengalami kesan tidak diingini yang tidak dianggap serius.

Seberapa terkinikah bukti tersebut?
Bukti dalam ulasan ini merangkumi penyelidikan yang diterbitkan hingga 27 April 2020.

Apakah yang kami temui
Kami hanya menemui satu laporan kajian yang dijalankan di tiga hospital di UK. Ia merupakan kajian kebolehlaksanaan: ia melihat sama ada kajian rawak yang lebih besar dan lebih konklusif boleh dilaksanakan. Ringkasan data kajian telah diterbitkan dan dibentangkan dalam sebuah persidangan. Laporan kajian itu tidak cukup bagus untuk menilai kualiti kajian tersebut. Tiada maklumat yang diberikan tentang tajaan.

Kami tidak menemui kajian lain yang boleh dimasukkan dalam ulasan ini, dan tiada kajian rawak yang sedang dijalankan.

Apakah hasil utama?
Kajian ini merawakkan 22 kanak-kanak yang menghidap hipertensi portal dan vena yang membesar ke dalam dua kumpulan:

- satu kumpulan yang mempunyai gelang elastik yang diletakkan di keliling vena yang membesar (12 kanak-kanak); dan
- satu kumpulan tidak menjalani rawatan aktif (10 kanak-kanak).

Tidak ada maklumat mengenai diagnosis, atau usia, mana-mana kanak-kanak. Kanak-kanak itu diikuti sekurang-kurangnya enam bulan. Dua orang kanak-kanak tidak dapat disusuli setelah satu tahun. Hanya 10 kanak-kanak yang menyelesaikan kajian percubaan pada tempoh susulan dua tahun.

Dalam kumpulan kanak-kanak yang dipasang gelang elastik:

- seorang kanak-kanak mati;
- tiada kanak-kanak yang mengalami kesan tidak diingini yang serius;
- seorang kanak-kanak memerlukan transplan hati; dan
- seorang kanak-kanak mengalami pendarahan esofagus.

Dalam kumpulan kanak-kanak yang tidak mendapat rawatan aktif:

- tiada kanak-kanak yang mati;
- seorang kanak-kanak mempunyai kesan tidak diingini yang serius: gangguan imun iaitu darah tidak bergumpal dengan betul (purpura trombositopenia idiopatik);
- seorang kanak-kanak memerlukan transplan hati; dan
- tiga orang kanak-kanak mengalami pendarahan esofagus.

Tiada kesan tidak diingini yang kurang serius dilaporkan berlaku dalam mana-mana kumpulan. Kajian ini tidak melaporkan sebarang maklumat mengenai kesejahteraan kanak-kanak (kualiti hidup).

Kesimpulan
Pelaporan hasil yang tidak mencukupi dan kurang bagus daripada satu kajian rawak, yang kecil, dan kurangnya kajian rawak lain bermaksud bahawa kami tidak dapat membuat kesimpulan yang boleh dipercayai. Kami tidak tahu seberapa baik gelang elastik untuk mencegah pendarahan vena yang membesar dalam esofagus dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda, atau mengenai kesan tidak diingini yang mungkin timbul.

Selagi kajian rawak berkualiti tinggi tidak dilakukan dan mengukur jumlah kematian, kualiti hidup, kegagalan mengawal pendarahan, dan kesan tidak diingini, kita tidak akan tahu sama ada gelang elastik adalah rawatan yang bagus untuk mencegah pendarahan dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda yang menghidap penyakit hati yang berpanjangan atau trombosis vena portal.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Maizura Mohamad (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information