Smectite untuk merawat kanak-kanak dengan cirit-birit yang akut

Apakah tujuan ulasan ini?

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada smectite (atau diosmectite), iaitu tanah liat perubatan yang biasanya dipreskripsikan kepada mereka yang mengalami cirit-birit bagi mengurangkan pengeluaran najis mereka, membantu kanak-kanak dengan cirit-birit yang akut. Kami mengumpul dan menganalisa semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan mendapati 18 kajian yang relevan.

Mesej utama

Memberikan smectite kepada kanak-kanak dengan cirit-birit yang akut boleh mengurangkan tempoh ciri birit. Walaubagaimanapun, lebih banyak kajian berkualiti tinggi masih diperlukan, termasuk kajian yang menilai penyebab cirit-cirit yang berbeza dan kesan ekonomi rawatan ini.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Cirit-birit yang akut adalah salah satu penyakit yang paling kerap dialami oleh kanak-kanak. Ia biasanya disebabkan oleh jangkitan virus. Tujuan utama rawatan adalah untuk mengekalkan tahap hidrasi yang baik. Perkara ini boleh dicapai dengan cecair rehidrasi secara oral, tetapi terdapat segelintir kanak-kanak yang perlu dirawat di hospital kerana memerlukan rehidrasi intravena. Namun, walaupun dengan hidrasi yang betul, najis yang cair adalah membebankan kepada ibubapa dan pesakit.

Smectite boleh membantu mengurangkan keradangan di dalam usus; dengan bertindak sebagai penghalang bagi mengurangkan penembusan toksin; atau dengan meningkatkan penyerapan air.

Apakah dapatan utama ulasan ini?

Kami telah menemui 18 kajian yang melibatkan 2616 kanak-kanak yang telah dijalankan di negara-negara berpendapatan tinggi, rendah dan juga berpendapatan sederhana. Kajian ini membandingkan kanak-kanak yang menerima smectite dengan kanak-kanak yang menerima rawatan rutin atau plasebo (pil atau cecair yang tidak mengandungi ubat). Lapan kajian dibiayai oleh pengeluar ubat.

Smectite boleh mengurangkan tempoh cirit-birit selama satu hari (bukti kepastian pada tahap rendah); boleh meningkatkan bilangan kanak-kanak yang sembuh selepas hari ke-3 (bukti kepastian pada tahap rendah); dan mungkin mengurangkan sedikit kuantiti najis yang cair (bukti kepastian pada tahap rendah).

Kami tidak pasti sama ada smectite mempunyai kesan ke atas kekerapan membuang najis oleh kanak-kanak (bukti kepastian pada tahap yang sangat rendah). Ia mungkin tidak mempunyai kesan ke atas berapa ramai kanak-kanak yang perlu dimasukkan ke hospital (bukti kepastian pada tahap yang rendah), dan mungkin tidak mempunyai kesan ke atas berapa ramai kanak-kanak yang memerlukan rehidrasi intravena (bukti kepastian pada tahap sederhana).

Tiada laporan yang ditemui mengenai kesan sampingan yang serius. Kesan sampingan ringan yang dialami termasuk sembelit, muntah, dan rasa tidak enak, namun kesan-kesan sampingan ini tidak menunjukkan perbezaan di antara kumpulan-kumpulan kajian.

Setakat manakan bukti ulasan ini terkini?

Kami telah mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 27 Julai 2017.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information