Dos oral tunngal Ibuprofen dan kafein untuk sakit akut selepas pembedahan bagi orang dewasa

Kesakitan akut sering dirasakan sejurus selepas kecederaan. Kebanyakan orang yang telah menjalani pembedahan mengalami kesakitan sederhana atau teruk. Ubat penahan sakit (analgesik) diuji pada orang dengan kesakitan, selalunya selepas penyingkiran gigi geraham. Kesakitan ini biasanya dirawat dengan ubat penahan sakit yang diambil melalui mulut. Keputusan boleh diaplikasikan untuk kesakitan akut yang lain.

Satu siri ulasan Cochrane melihat betapa baiknya ubat penahan sakit. Kami tahu bahawa dalam beberapa keadaan menggabungkan ubat penahan sakit berbeza dalam tablet yang sama atau mengambil tablet berasingan pada masa yang sama memberikan kelegaan sakit yang baik kepada lebih ramai orang daripada ubat penahan sakit sahaja. Ini benar terutamanya menggunakan gabungan dua ubat penahan sakit yang berfungsi dengan mekanisme berbeza . Ulasan ini memperlihatkan betapa baiknya gabungan ibuprofen dan kafein bagi melegakan sakit sederhana atau teruk selepas pembedahan.

Kami telah mencari sehingga 1 Februari 2015 dan menemui empat kajian dengan maksimum 334 peserta dengan maklumat untuk analisis. Ibuprofen 200 mg dan kafein 100 mg memberikan kelegaan sakit berkesan untuk 6 dalam 10 (59%) peserta, dibandingkan dengan 1 dalam 10 (11%) peserta dengan plasebo ( bukti kualiti sederhana ).

Peristiwa buruk berlaku pada kadar yang sama dengan kombinasi ibuprofen dan kafein dan plasebo dalam kajian dos tunggal ini ( bukti kualiti rendah). Tiada kesan buruk yang serius atau penarikan diri disebabkan kesan buruk yang berlaku melalui kombinasi ini.

Gabungan ibuprofen 200 mg + kafein 100 mg tidak selalunya tersedia, tetapi mungkin boleh dicapai dengan mengambil satu tablet ibuprofen 200 mg dengan secawan kopi pekat sederhana. Sumber biasa kafein termasuk bukan sahaja tablet kafein (100 mg sudah memadai), tetapi kopi (100 mg hingga 150 mg setiap cawan atau cawan dengan jumlah kira-kira 240 mL atau 8 fl oz, atau espresso berganda), tetapi juga teh ( 75 mg setiap cawan), minuman cola (sehingga 40 mg setiap minuman), minuman tenaga (kira-kira 80 mg setiap minuman), coklat kosong (sehingga 50 mg setiap bar), dan tablet kafein (100 mg setiap tablet).

Sesetengah orang boleh mendapat tahap kelegaan sakit yang baik dengan dos ibuprofen yang lebih rendah apabila ibuprofen digabungkan dengan kafein.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).

Tools
Information