Yoga untuk pemulihan strok

Soalan ulasan

Kami ingin tahu sama ada yoga membantu meningkatkan kualiti hidup bagi mangsa strok.

Latar belakang

Strok adalah isu kesihatan utama di seluruh dunia, yang memberi kesan kepada orang ramai dalam pelbagai cara. Sebagai contoh, mangsa strok yang terselamat mungkin menghadapi masalah bergerak, dan berkomunikasi dan bersosial dengan orang lain. Strok juga boleh menjejaskan perasaan seseorang. Ia boleh menyebabkan masalah dengan ingatan dan tumpuan. Selepas keluar dari hospital atau perkhidmatan strok lain, mangsa strok perlu menghadapi kesan jangka panjang strok. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa yoga boleh membantu orang yang mempunyai keadaan jangka panjang yang lain untuk mengatasi dengan lebih baik. Yoga boleh meningkatkan kualiti hidup (QoL).

Tarikh carian

Kami telah mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Julai 2017.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui dua kajian penyelidikan yang telah menilai yoga untuk mangsa strok. Tujuh puluh dua orang mengambil bahagian dalam kedua-dua kajian itu. Satu kajian di AS dan satu di Australia. Secara purata, mangsa strok berumur antara 60 dan 63 tahun dan sudah antara empat tahun tiga bulan dan sembilan tahun sejak mereka diserang strok. Dalam kajian Amerika, kelas yoga diadakan dua kali seminggu selama lapan minggu. Dalam kajian Australia, kelas yoga diadakan sekali seminggu selama 10 minggu. Kedua-dua kajian menggalakkan orang mengamalkan yoga di rumah, pada masa lapang mereka. Kedua-dua kajian menggunakan senarai menunggu sebagai kumpulan kawalan. Ini bermaksud orang dalam kumpulan kawalan dapat menghadiri kelas yoga pada akhir kajian.

Sumber pembiayaan

Kajian Amerika dibiayai oleh Kerajaan AS. Kajian Australia dibiayai Yayasan Strok Kebangsaan (Australia).

Keputusan utama

Kami dapat menganalisa data kajian daripada 69 peserta. Tiada faedah ketara ditemui pada ukuran QoL, keseimbangan, kekuatan, ketahanan, kesakitan, skor ketidakupayaan. Tiada faedah ketara ditemui pada ukuran pergerakan, namun satu kajian melaporkan faedah ketara dalam meningkatkan aspek julat pergerakan. Satu kajian melaporkan faedah ketara dalam mengurangkan kerisauan. Tiada kajian melaporkan tentang ukuran kemudaratan pesakit.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti menggunakan GRADE. Secara keseluruhan, kualiti bukti adalah amat rendah, disebabkan bilangan kajian yang kecil yang dimasukkan dalam ulasan, di mana kedua-duanya kami anggap sebagai berisiko tinggi berat sebelah, terutamanya berkaitan dengan ketidaklengkapan data dan pelaporan terpilih, dan terutamanya berkaitan sifat perwakilan sampel dalam satu kajian.

Kesimpulan

Ulasan ini tidak dapat mengenal pasti bukti berkualiti tinggi yang cukup tentang faedah dan keselamatan yoga dalam pemulihan strok. Lebih banyak kajian penyelidikan berkualiti tinggi diperlukan untuk memastikan bahawa yoga mempunyai manfaat untuk mangsa strok.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hanis Hamdan (Ketua Pegawai Operasi, Yayasan Jantung Kongenital Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information