Adakah nasihat peribadi melalui komputer atau peranti mudah alih mengurangkan tabiat minum alkohol berlebihan?

Soalan ulasan

Penyelidik berhasrat untuk mengetahui sama ada nasihat yang diperuntukkan untuk mengurangkan minum alkohol berlebihan yang disediakan menggunakan komputer atau peranti mudah alih adalah lebih baik daripada tanpa maklumat atau maklumat yang dicetak. Penyelidik juga membandingkan nasihat yang diberikan menggunakan komputer atau peranti mudah alih kepada nasihat yang diberikan dalam perbualan bersemuka. Hasil utama adalah berapa banyak orang yang minum alkohol.

Latar belakang

Pengambilan alkohol berlebihan menyebabkan lebih daripada 60 penyakit, serta banyak kemalangan, kecederaan dan kematian awal setiap tahun. Nasihat atau kaunseling ringkas, yang disampaikan oleh doktor atau jururawat, dapat membantu orang ramai mengurangkan minuman alkohol mereka dengan sekitar 4 hingga 5 unit seminggu. Di UK, ini adalah sekitar dua pint (1.13 L) bir atau setengah botol wain (375 mL) setiap minggu. Namun demikian, orang mungkin malu bercakap tentang alkohol.

Tarikh carian

Sehingga Mac 2017.

Ciri-ciri kajian
Kajian termasuk orang di tempat kerja, kolej atau klinik kesihatan dan pengguna internet. Semua orang menaip maklumat tentang minuman mereka ke dalam komputer atau peranti mudah alih - yang kemudian memberikan sesetengah orang nasihat tentang berapa banyak mereka minum dan kesannya terhadap kesihatan. Kumpulan ini juga mendapat cadangan tentang cara untuk mengurangkan minum alkohol. Kumpulan lain kadang-kala boleh membaca maklumat kesihatan umum. Antara satu bulan dan setahun kemudian, semua orang diminta mengesahkan berapa banyak mereka minum. Tahap minum dalam kedua-dua kumpulan dibandingkan antara satu sama lain pada masa-masa tersebut.

Sumber dana kajian

Banyak (56%) kajian dibiayai oleh dana kerajaan atau penyelidikan. Segelinter (11%) adalah dibiayai oleh anugerah peribadi seperti fellowship PhD. Yang lain tidak melaporkan sumber pembiayaan.

Keputusan utama
Penyelidik menyertakan 57 kajian yang membandingkan orang yang mendapat nasihat tentang alkohol dari komputer atau peranti mudah alih dengan mereka yang tidak selepas satu hingga 12 bulan. Dari jumlah ini, 41 kajian (42 perbandingan, 19,241 peserta) memberi tumpuan kepada jumlah sebenar yang dilaporkan pada pengguna minum setiap minggu. Kebanyakan orang melaporkan kurang minum jika mereka menerima nasihat mengenai alkohol dari komputer atau peranti mudah alih berbanding orang yang tidak mendapatkan nasihat ini.

Bukti menunjukkan bahawa jumlah alkohol yang dikurangkan mungkin kira-kira 1.5 pint (800 mL) bir atau satu pertiga daripada sebotol wain (250 mL) setiap minggu. Langkah-langkah lain menyokong keberkesanan intervensi alkohol digital, walaupun saiz kesan cenderung kepada lebih kecil daripada penggunaan alkohol secara keseluruhan. Perbezaan positif dalam ukuran minum dilihat pada 1, 6 dan 12 bulan selepas diberi nasihat.

Tiada maklumat yang cukup untuk membantu penyelidik membuat keputusan samada nasihat adalah lebih baik daripada komputer, telefon atau internet untuk mengurangkan minum secara berisiko. Penyelidik tidak tahu nasihat mana yang paling penting untuk membantu orang mengurangkan masalah minum. Namun, nasihat dari orang yang dipercayai seperti doktor kelihatan seperti membantu, seperti cadangan yang orang fikir tentang cara tertentu yang dapat mengatasi masalah mungkin menghalang mereka daripada minum lebih kurang dan cadangan mengenai perkara yang harus dilakukan dan bukannya minum. Kami melibatkan lima kajian yang membandingkan tabiat minum alkohol orang yang mendapat nasihat dari komputer atau peranti mudah alih dengan nasihat dari perbualan bersemuka dengan doktor atau jururawat; mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan antara kaedah-kaedah ini untuk mengurangkan minum berlebihan.

Tiada kajian yang melaporkan sama ada terdapat sebarang bahaya akibat intervensi-intervensi tersebut.

Nasihat peribadi menggunakan komputer atau peranti mudah alih boleh membantu orang mengurangkan minum berlebihan lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa atau hanya menyediakan maklumat kesihatan umum. Nasihat peribadi melalui komputer atau peranti mudah alih mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan untuk mengurangi minum dibandingkan dengan perbualan bersemuka.

Kualiti bukti

Bukti adalah berkualiti sederhana hingga rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save