Acetyl-L-carnitine untuk pesakit yang mempunyai ensefalopati hepatik

Apa itu ensefalopati hepatik?
Ensefalopati hepatik adalah komplikasi neuropsikiatrik yang biasa dan membebankan, yang berpunca dari kegagalan hati akut atau penyakit hati kronik. Hati pesakit yang mempunyai ensefalopati hepatik tidak dapat membersihkan darah vena portal (saluran paip besar yang membawa darah dari usus kecil ke hati). Oleh sebab itu, kadar amonium darah dan tahap bahan toksik yang lain meningkat, dan seterusnya membawa kepada kerosakan otak. Ensefalopati hepatik dikaitkan dengan peningkatan kematian yang signifikan dalam kalangan pesakit dengan penyakit hati, termasuk mereka yang sedang menunggu pemindahan hati.

Apa itu acetyl-L-carnitine?
Acetyl-L-carnitine adalah bahan yang mengurangkan kadar ammonium dalam darah dan otak. Ia juga boleh bertindak sebagai agen pelindung otak.

Tujuan ulasan kajian
Ulasan sistematik ini telah menilai kelebihan dan keburukan merawat pesakit yang mempunyai ensefalopati hepatik menggunakan acetyl-L-carnitine seiiring dengan pemberian rawatan standard (laktulosa, antibiotik, dll.) berbanding dengan plasebo atau tanpa intervensi acetyl-L-carnitine bersama dengan rawatan standard.

Penemuan ulasan ini
Penulis ulasan telah mencari bahan sastera perubatan sehingga 10 September 2018, dan telah mengenal pasti lima percubaan klinikal rawak, termasuk sejumlah 398 perserta. Semua percubaan kajian telah dijalankan di Itali oleh hanya satu pasukan penyiasat. Kesemuanya dianggap tinggi risiko bias dan hanya merangkumi sebilangan kecil peserta, yang menyebabkan kemungkinan anggaran manfaat terlebih dan anggaran bahaya yang terkurang boleh terjadi. Industri farmaseutikal tidak menaja sebarang percubaan kajian. Percubaan kajian menguji acetyl-L-carnitine yang diberikan secara oral atau intravena berbanding dengan plasebo. Ubat itu tidak memberi kesan kepada kualiti hidup, tahap keletihan, atau peristiwa buruk yang tidak serius apabila dibandingkan dengan plasebo (ubat palsu tidak aktif).

Hasil kajian juga dimasukan dalam tinjauan ini
Tiada percubaan kajian yang disertakan melaporkan data mengenai mortaliti yang merangkumi semua sebab, peristiwa buruk yang serius, atau bilangan hari dimasukkan di hospital. Para penyelidik tidak melaporkan sepenuhnya keburukan yang disebabkan oleh acetyl-L-carnitine, oleh itu profil bahayanya masih kurang jelas. Risiko beratsebelah, ketidaktepatan dan hasil pelaporan beratsebelah menyebabkan kepastian bukti rendah atau sangat rendah. Pengurangan kadar amonium darah lebih memihak kepada peserta yang menerima acetyl-L-carnitine, tetapi penulis kajian melihat sebagai tiada manfaat klinikal.

Jelas bahawa percubaan klinikal rawak tambahan diperlukan untuk menilai manfaat dan bahaya acetyl-L-carnitine berbanding dengan plasebo bagi merawat pesakit ensefalopati hepatik. Percubaan-percubaan kajian harus dirancang dengan baik, dijalankan oleh penyelidik bebas dan bersifat kolaboratif, dan melibatkan bilangan peserta yang besar.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Chiam Kai Ning (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USMKK). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information