Antibiotik topikal (digunakan pada kulit) untuk mencegah jangkitan di tempat pembedahan pada luka yang dijahit atau disatukan dengan cara lain

Latar belakang

Kehadiran mikroorganisma, seperti bakteria, di tempat luka selepas pembedahan boleh mengakibatkan jangkitan tempat pembedahan untuk pesakit. Jangkitan di tempat pembedahan boleh mengakibatkan peningkatan kos penjagaan kesihatan, kelewatan dalam penyembuhan luka dan kesakitan. Antibiotik adalah ubat yang membunuh bakteria atau menghalangnya daripada berkembang. Antibiotik boleh diambil melalui mulut (secara oral), terus ke dalam urat (intravena), atau disapu terus ke kulit (topikal). Antibiotik topikal sering digunakan pada luka selepas pembedahan kerana dianggap dapat menghalang jangkitan di tempat pembedahan. Terdapat faedah menggunakan antibiotik secara topikal dan bukannya secara oral atau intravena. Memandangkan antibiotik topikal bertindak hanya pada kawasan badan di mana ia digunakan, terdapat kurang kemungkinan kesan yang tidak diingini yang menjejaskan seluruh badan, seperti loya dan cirit-birit. Antibiotik topikal juga dianggap mengurangkan kemungkinan rintangan bakteria (bakteria berubah menjadi tahan terhadap ubat). Walau bagaimanapun, antibiotik topikal juga boleh mempunyai kesan yang tidak diingini, yang paling biasa ialah tindak balas alahan pada kulit (dermatitis kontak), yang boleh menyebabkan kemerahan, gatal-gatal dan kesakitan di tempat di mana antibiotik topikal digunakan.

Soalan ulasan

Kami menyemak bukti tentang keberkesanan antibiotik topikal dalam mencegah jangkitan tapak pembedahan jika digunakan terus pada luka selepas pembedahan. Kami memberi tumpuan kepada kesan antibiotik topikal pada jenis luka pembedahan di mana bahagian tepinya dirapatkan supaya luka sembuh dengan lebih mudah (dikenali sebagai penyembuhan dengan niat utama). Tepi luka ini boleh disatukan dengan jahitan, staples, klip atau gam.

Apa yang kami temui

Pada Mei 2016, kami mencari seberapa banyak kajian berkaitan yang kami dapati yang menyiasat penggunaan antibiotik topikal pada penyembuhan luka pembedahan dengan niat utama. Kami berjaya mengenal pasti 14 kajian yang membandingkan antibiotik topikal tanpa rawatan, atau dengan antiseptik (iaitu rawatan lain yang digunakan pada kulit untuk mencegah jangkitan bakteria), dan dengan antibiotik topikal lain. Lapan daripada kajian ini melibatkan pembedahan am dan enam melibatkan pembedahan dermatologi (pembedahan hanya melibatkan kulit). Kebanyakan kajian adalah kecil, dan berkualiti rendah atau berisiko berat sebelah. Selepas memeriksa kesemuanya, penulis membuat kesimpulan bahawa risiko mendapat jangkitan di tempat pembedahan mungkin dikurangkan dengan penggunaan antibiotik topikal yang digunakan pada luka selepas pembedahan, sama ada antibiotik itu dibandingkan dengan antiseptik, atau tanpa rawatan. Oleh kerana jangkitan adalah kejadian yang agak jarang berlaku selepas pembedahan, pengurangan sebenar dalam kadar jangkitan ialah 4.3% secara purata apabila penggunaan antibiotik topikal dibandingkan dengan antiseptik, dan 2% apabila penggunaan antibiotik topikal dibandingkan tanpa rawatan. Ia memerlukan 24 pesakit secara purata untuk dirawat dengan antibiotik topikal dan bukannya antiseptik, dan 50 pesakit dirawat dengan antibiotik topikal berbanding tanpa rawatan untuk mencegah satu jangkitan luka. Empat kajian melaporkan mengenai dermatitis kontak alahan, tetapi terdapat bukti yang tidak mencukupi untuk menentukan sama ada dermatitis kontak alahan berlaku lebih kerap dengan antibiotik topikal berbanding dengan antiseptik atau tanpa rawatan, dan ini juga harus dipertimbangkan sebelum memutuskan untuk menggunakannya.

Ringkasan bahasa biasa ini telah dikemas kini sehingga Mac 2016.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information