Teknologi pintar untuk pengurusan diri COPD

Latar belakang

Penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) adalah keadaan pernafasan jangka panjang yang sering disebabkan oleh merokok. Telefon pintar, tablet, dan PC mungkin sangat berguna untuk orang yang mempunyai COPD dan tinggal di rumah kerana peranti ini boleh memberikan maklumat, pendidikan, dan panduan mengenai keadaan ini. Maklumat ini boleh diperibadikan untuk setiap individu, contohnya, ia boleh mengesyorkan program senaman yang sesuai atau memberi nasihat tentang cara berhenti merokok.

Ciri-ciri kajian

Penyelidik memasukkan dalam ulasan ini 557 peserta dari tiga kajian; 319 menerima teknologi pintar untuk menyokong pengurusan diri, dan 238 menerima maklumat/lisan secara bersemuka atau maklumat digital dan pendidikan tentang pengurusan diri. Umur purata peserta adalah 64 tahun. Ulasan penyelidik termasuk lebih banyak lelaki berbanding wanita kerana sampel dari satu kajian terdiri daripada veteran perang, yang kebanyakannya lelaki. Peserta menggunakan teknologi selama empat minggu dalam satu kajian hingga enam bulan pada kedua dan empat bulan pada ketiga, yang juga melaporkan data pada 12 bulan. Teknologi yang digunakan dalam kajian ini termasuk telefon pintar atau PC.

Keputusan utama

Orang yang menerima teknologi pintar menunjukkan peningkatan yang lebih baik dalam pengurusan diri dan kualiti hidup dan meningkatkan aktiviti fizikal berbanding dengan orang yang menerima sokongan secara bersemuka / digital dan / atau bertulis sepanjang tempoh empat minggu hingga enam bulan. Selain itu, kemasukan hospital dan eksaserbasi COPD tidak berbeza antara mereka yang menggunakan teknologi pintar dan mereka yang tidak. Hanya satu kajian yang memberi maklumat tentang orang yang berhenti merokok dan tidak melaporkan sebarang perbezaan di antara kumpulan.

Kualiti bukti

Penyelidik mendapati hanya terdapat tiga kajian yang berisiko berat sebelah yang tinggi - yang boleh penyelidik sertakan dalam ulasan ini, dan penyelidik boleh menjalankan analisis terhadap hanya dua hasil penyelidik (kualiti hidup dan peningkatan aktiviti fizikal). Akibatnya, penyelidik berpendapat bahawa maklumat terkini tidak menunjukkan dengan jelas sama ada teknologi pintar membantu orang yang mempunyai COPD. Penyelidik mencadangkan penyelidikan lanjut tentang kualiti tinggi yang memberi tumpuan kepada hasil yang berkaitan dengan tahap COPD yang berlainan. Para penyelidik harus jelas tentang cara pengurusan diri dinilai, harus melaporkan hasil kajian piawaian, terutamanya kos, dan harus menyertakan susulan untuk sekurang-kurangnya satu tahun sehingga mereka dapat memberikan komen mengenai perubahan tingkah laku dan kesan rawatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save