Dipyrone dos tunggal untuk rawatan kesakitan selepas pembedahan akut

Asasnya

Dipyrone (metamizole) pada dos oral tunggal 500 mg menghasilkan kelegaan kesakitan yang boleh diterima dalam kira-kira 7 daripada 10 orang yang mengalami kesakitan akut yang sederhana atau teruk.

Latar belakang

Kesakitan akut berakhir dalam masa pendek dan sering dirasai sejurus selepas kecederaan. Kebanyakan orang yang menjalani pembedahan mengalami kesakitan yang sederhana atau teruk selepas itu. Ubat penahan sakit (analgesik) diuji dengan memberikannya kepada orang yang mengalami kesakitan, selalunya selepas membuang gigi bongsu atau pembedahan kecil yang lain. Kesakitan ini biasanya dirawat dengan ubat penahan sakit yang diambil melalui mulut. Keputusan boleh digunakan untuk jenis kesakitan akut yang lain. Ini adalah salah satu siri ulasan Cochrane yang melihat betapa baiknya ubat penahan sakit.

Dipyrone ialah ubat yang popular untuk melegakan kesakitan di sesetengah negara dan digunakan untuk merawat kesakitan selepas pembedahan, sakit kolik (sakit tajam di perut), sakit kanser dan migrain (sakit kepala yang teruk). Negara lain (Jepun, UK, Amerika Syarikat) telah melarang penggunaannya kerana kaitan dengan penyakit darah yang berpotensi mengancam nyawa seperti agranulositosis (kekurangan sel darah tertentu).

Ciri-ciri kajian

Pengulas mencari pangkalan data perubatan untuk kajian tentang dipyrone yang digunakan untuk merawat kesakitan selepas pembedahan pada orang dewasa dan dibandingkan dengan plasebo (rawatan yang diada-adakan). Ubat-ubatan boleh diberikan melalui mulut, ke dalam vena, ke dalam otot, atau ke dalam rektum. Bukti adalah terkini sehingga 11 Ogos 2015. Pengulas menjumpai lapan kajian, melibatkan 809 peserta yang dirawat dengan dipyrone, plasebo, dan pelbagai ubat penahan sakit lain. Kajian itu semuanya kecil, tetapi sebaliknya berkualiti sederhana hingga baik.

Keputusan utama

Satu dos 500 mg dipyrone memberikan kelegaan kesakitan yang berkesan (50% atau lebih pengurangan kesakitan selama empat hingga enam jam) untuk 7 dalam 10 (70%) peserta, berbanding dengan 3 dalam 10 (30%) dengan plasebo (lima kajian, 288 peserta dalam perbandingan; bukti kualiti sederhana), dan kurang peserta memerlukan ubat penahan sakit tambahan dalam tempoh empat hingga enam jam (7% dengan dipyrone, 34% dengan plasebo; empat kajian, 248 peserta; bukti berkualiti rendah).

Terdapat terlalu sedikit data untuk membandingkan dipyrone secara langsung dengan ubat penahan sakit yang lain.

Terdapat terlalu sedikit maklumat yang tersedia untuk membuat sebarang kesimpulan tentang dos lain dan cara pemberian dipyrone yang digunakan dalam kajian ini, atau tentang bilangan orang yang mempunyai kesan sampingan. Kajian melaporkan tiada kesan sampingan yang serius atau orang yang menarik diri daripada kajian kerana kesan sampingan, walaupun tidak semua kajian memberikan maklumat tentang hasil ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information