Kemoterapi dos tinggi dan transplantasi sel hematopoiesis untuk kanak-kanak, remaja dan orang muda yang di diagnos dengan sarkoma Ewing metastatik primer

Soalan Ulasan

Kami mencari bukti sama ada kemoterapi dos tinggi serta transplantasi sel haematopoiesis autologus (infusi intravena sel stem yang dikumpul terlebih dahulu dari pesakit untuk memulakan semula sumsum tulang) memperbaik survival tanpa peristiwa, survival keseluruhan, survival pelarasan kualiti dan survival bebas progresi lebih baik berbanding kemoterapi konvensional dalam kalangan kanak-kanak, remaja, dan orang muda dengan sarkoma Ewing metastatik primer (kanser yang telah merebak ke bahagian lain badan semasa diagnosis). Kami juga mencari kesan buruk yang berlaku akibat rawatan ini.

Latar belakang

Sarkoma Ewing adalah tumor yang biasa berlaku dalam tulang dan tisu lembut kanak-kanak dan orang muda. Orang dengan sarkoma Ewing metastatik semasa diagnosis mempunyai peluang survival yang tipis. Kurang dari 30% orang yang dipengaruhi dapat bertahan selepas lima tahun. Orang dengan metastasis paru-paru solitari berpeluang survival lebih baik (50% bertahan selepas lima tahun). Rawatan semasa terdiri daripada kemoterapi pelbagai ubat digabung dengan pembedahan, radioterapi, ataupun kedua-duanya. Terapi yang memperbaik adalah mustahak untuk para pesakit ini.

Kami menjalankan ulasan ini untuk mengkaji sama ada kemoterapi dos tinggi, yang digabung dengan transplantasi sel hematopoiesis autologus boleh memperbaik survival dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan orang muda dengan sarkoma Ewing metastatik primer semasa diagnosis, berbanding kemoterapi konvensional.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti satu kajian (267 peserta, yang disertakan dalam tempoh 15 tahun, dari 144 pusat antarabangsa) yang membandingkan kemoterapi dos tinggi ditambah transplantasi sel haematopoiesis autologus dengan kemoterapi konvensional dan penyinaran seluruh paru-paru dalam kalangan kanak-kanak, remaja, dan orang muda dengan sarkoma Ewing metastasis pulmonari semasa diagnosis.

Keputusan utama

Dalam kalangan orang muda dengan sarkoma Ewing metastatik pulmonari semasa diagnosis, bukti daripada satu kajian tidak menemui perbezaan jelas survival bebas peristiwa antara kumpulan rawatan. Tiada data sedia ada untuk survival keseluruhan, survival pelarasan kualiti, kesan buruk, atau survival bebas progresi. Kami tidak menemui sebarang kajian yang mensasarkan kanak-kanak, remaja dan orang muda dengan sarkoma Ewing yang telah metastasis lokasi selain paru-paru semasa diagnosis. Kami perlu kajian yang berkualiti tinggi sebelum membuat kesimpulan muktamad.

Kepastian bukti

Kepastian bukti adalah rendah.

Adakah bukti ini mutakhir

Bukti adalah terkini sehingga Januari 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mohd. Amirul Ariffin Mohamad Razalie (RCSI-UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information