Intervensi untuk pengurusan keletihan pada orang dewasa dengan tumor otak primer

Mesej utama

Kami tidak tahu sama ada terdapat rawatan yang berkesan dalam pengurusan orang dengan tumor otak primer dan keletihan yang tinggi kerana hanya mendapati tiga kajian dengan bilangan peserta yang rendah dari setiap kajian.

Apakah tumor otak primer?

Tumor otak primer adalah kanser yang bermula di otak dan bukannya merebak daripada bahagian badan yang lain. Tumor otak digredkan sebagai gred tinggi dan gred rendah; tumor gred tinggi terdiri daripada sel yang sangat tidak normal yang menumbuh dengan cepat, manakala tumor gred rendah terdiri daripada sel abnormal yang tumbuh dengan perlahan. Keletihan adalah perkara biasa pada orang yang mempunyai tumor otak primer. Ini mungkin disebabkan oleh tumor, rawatannya atau penggunaan ubat lain, seperti ubat antiepileptik (yang digunakan untuk merawat sawan). Ia mungkin berlaku dengan gejala lain seperti gangguan tidur, masalah berfikir dan tekanan emosi.

Apakah yang kami ingin mengetahui?

Kami ingin mengetahui sama ada rawatan yang membantu untuk menguruskan keletihan boleh meningkatkan kualiti hidup seseorang, keupayaan mereka untuk bertolak ansur dengan rawatan kanser (yang dengan sendirinya dikaitkan dengan keletihan), dan keupayaan mereka untuk menjalankan aktiviti sosial serta seharian.

Apa yang kami lakukan?

Pada April 2022, kami mencari empat pangkalan data perubatan. Kami menjumpai tiga kajian klinikal yang layak untuk dimasukkan. Tiga kajian menyiasat penggunaan tiga jenis ubat (modafinil, armodafinil dan dexamfetamine sulfate) pada orang dewasa dengan tumor otak primer dan tahap keletihan yang tinggi. Ubat-ubatan ini menggalakkan terjaga.

Apa yang kami dapati?

Ketiga-tiga kajian yang diserta mendapati tiada bukti menunjukkan bahawa terdapat perbezaan antara ubat dan plasebo (rawatan tiruan) dalam merawat keletihan pada masa kajian berakhir. Terdapat kemungkinan ia disebabkan oleh dua percubaan tidak mencapai bilangan peserta yang dirancang.

Apakah batasan bukti ini?

Dengan hanya tiga kajian yang disertakan, dan kekurangan penemuan positif, pada masa ini kami tidak tahu sama ada terdapat rawatan yang berkesan dalam pengurusan orang dengan tumor otak primer dan tahap keletihan yang tinggi. Selain itu, tiada kajian yang menyertakan intervensi bukan ubat, seperti terapi bercakap dan senaman. Lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan yang mendaftarkan orang dewasa dengan tumor otak primer dan tahap keletihan yang tinggi. Kami menemui tiga kajian yang sedang dijalankan yang menyiasat intervensi bukan ubat di mana ia mungkin menawarkan beberapa hasil yang berguna.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga April 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information