Minyak ikan untuk mencegah penyumbatan akses vaskular hemodialisis pada pesakit dengan kegagalan buah pinggang

Apakah isunya?

Pesakit yang memerlukan hemodialisis (HD) jangka panjang kerana buah pinggang yang kurang berfungsi memerlukan satu kaedah peredaran darah yang boleh dipercayai dan cekap pada kadar aliran tinggi antara badan mereka dan mesin HD. Fistula arteriovenous (AVFs) dan graft (AVGs) adalah dua kaedah utama untuk mencapai akses vaskular jangka panjang tersebut. AVF ialah satu pembedahan sambungan langsung (fistula) antara arteri dan vena pesakit. AVG ialah tiub sintetik fleksibel berlubang (graft) yang menyambungkan arteri dan vena pesakit secara tidak langsung dan biasa digunakan apabila fistula tidak dapat dibuat. Semasa HD, fistula atau graft dicucuk dengan jarum (dengan kanula) disambungkan ke mesin dialisis. Patensi sambungan buatan ini mungkin akan disekat oleh pembekuan darah (trombosis) atau oleh penyempitan vena. Risiko kejadian ini adalah lebih rendah untuk AVF, menjadikannya kaedah pilihan. Apabila penyumbatan berlaku, HD tidak dapat dilakukan dan prosedur pembedahan atau penyelamatan radiologi adalah diperlukan dengan segera. Minyak ikan asid lemak omega-3 boleh mengurangkan kelikatan darah dan mungkin dapat menurunkan risiko pembekuan darah serta penyempitan saluran darah, lalu meningkatkan akses vaskular jangka panjang dan kualiti HD.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mengumpulkan data daripada kajian-kajian yang membandingkan pesakit HD dengan suplemen minyak ikan asid lemak omega-3 terhadap plasebo dan kajian yang melaporkan hasil pada pencegahan penyumbatan akses vaskular serta untuk kesan-kesan sampingan berikut - kematian, kemasukan hospital, kejadian kardiovaskular, pendarahan besar, pendarahan kecil, kejadian gastrousus dan kesan buruk yang lain. Kami menganalisis dan melaporkan hasil-hasil kajian secara berasingan untuk pesakit dengan AVF dan AVG.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati lima percubaan rawak terkawal (RCT) yang mengkaji sejumlah 833 peserta; satu kajian rintis yang sangat kecil dengan tujuh peserta. Empat kajian melibatkan pesakit dengan AVG; hanya satu kajian mengenai AVF. Hasilnya didapati daripada tempoh masa selama 6 atau 12 bulan. Terdapat keraguan tentang kualiti keseluruhan kajian-kajian tersebut, menyebabkan kami tidak menyakin buktinya dengan tahap sederhana hingga tinggi. Pada pesakit AVF, kami memberi keyakinan tahap sederhana bahawa suplemen minyak ikan tidak mencegah penyumbatan dan juga tidak menyebabkan bahaya tambahan tetapi buktinya hanya dapat daripada satu kajian. Pada pesakit AVG, kami sangat tidak yakin dengan bukti untuk mencegah penyumbatan atau menyebabkan bahaya yang serius, tetapi ia mungkin akan meningkatkan risiko kesan sampingan pencernaan yang ringan seperti sensasi perut kembung, gas atau rasa selepas yang berbau ikan.

Kesimpulan

Data berkualiti tinggi adalah terhad tentang kebaikan suplemen minyak ikan omega-3 untuk mencegah penyumbatan HD pada pesakit dengan kegagalan buah pinggang. Kami tidak menemui bukti kukuh bahawa suplemen minyak ikan omega-3 dapat mencegah penyumbatan akses vaskular HD atau meningkatkan risiko kesan sampingan yang serius serta tidak serius. Semua bukti tentang mencegah penyumbatan didapati daripada satu atau dua kajian, oleh itu lebih banyak serta kajian yang berkualiti adalah diperlukan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Teh Keng Hwang (UniSHAMS). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information