Kesan imunoterapi kepada prognosis untuk kanser paru-paru bukan sel kecil peringkat I hingga III yang dirawat dengan pembedahan atau radioterapi dengan tujuan kuratif

Soalan ulasan

Adakah rawatan yang membantu sistem imun badan melawan sel-sel kanser (imunoterapi) membuat pesakit kanser paru-paru bukan sel kecil (NSCLC) yang telah menjalani pembedahan atau radioterapi untuk tujuan menyembuhkan, hidup lebih lama?

Latar belakang

Ramai orang dengan NSCLC, yang telah menjalani pembedahan atau radioterapi untuk menyembuhkan kanser mereka, akhirnya mati kerana kanser kembali, sama ada di dada, atau di bahagian lain badan. Terdapat beberapa kajian klinikal selama bertahun-tahun yang telah melihat sama ada imunoterapi membantu pesakit hidup lebih lama. Sesetengah kajian menunjukkan manfaat, yang lain tidak.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari empat pangkalan data berkomputer dan lima daftar kajian hingga 20 Januari 2017. Kami mencari semua kajian yang secara rawak memperuntukkan peserta untuk satu rawatan atau satu lagi (kajian rawak terkawal (RCTs)), dan termasuk orang dewasa (berumur 18 tahun ke atas) dengan kanser paru-paru bukan sel kecil awal (peringkat I hingga III), disahkan oleh ujian makmal sampel tumor. Kami mendapati sembilan RCT, melibatkan hampir 5000 peserta yang telah menjalani pembedahan atau radioterapi kuratif, dan telah diperuntukkan secara rawak untuk menerima sama ada imunoterapi atau tiada rawatan lanjut.

Keputusan utama

Kami mendapati pemberian imunoterapi, terutamanya berasaskan vaksin (bertujuan untuk mengaktifkan sistem imun perumah bagi mencetus respon imun manusia terhadap antigen tumor spesifik), selepas pembedahan atau radioterapi tidak secara purata, membolehkan orang hidup lebih lama. Kami tidak menemui sebarang keputusan yang dapat memberitahu kami sama ada penambahan imunoterapi meningkatkan kualiti hidup, tetapi mereka yang diberi imunoterapi berasaskan vaksin dilihat secara purata mungkin telah mengalami lebih banyak kesan sampingan. Buat masa ini, tiada bukti untuk menyokong atau menyangkal pemberian imunoterapi (terutamanya berasaskan vaksin) kepada orang dengan NSCLC setempat (peringkat I hingga III). RCT sedang dilaksanakan menguji ubat imunoterapi baharu yang lebih menjanjikan (seperti perencat titik semak).

Kualiti bukti

Bukti yang kami dapati tentang survival keseluruhan dan survival bebas progresi adalah berkualiti tinggi. Apabila kami mencari bukti tentang berapa ramai pesakit dapat hidup hingga satu, dua, tiga atau lima tahun, ia hanyalah berkualiti sederhana atau rendah, kerana RCT tidak dijalankan dengan begitu baik, dan keputusannya tidak bersetuju di antara satu sama lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save