Kesan imunoterapi kepada prognosis untuk kanser paru-paru bukan sel kecil peringkat I hingga III yang dirawat dengan pembedahan atau radioterapi dengan tujuan kuratif

Soalan ulasan

Adakah rawatan yang membantu sistem imun badan melawan sel-sel kanser (imunoterapi) membuat orang dengan kanser paru-paru bukan sel kecil (NSCLC) yang telah menjalani pembedahan atau radioterapi untuk tujuan menyembuhkan, hidup lebih lama?

Latar belakang

Ramai orang dengan NSCLC, yang telah menjalani pembedahan atau radioterapi untuk menyembuhkan kanser mereka, akhirnya mati kerana kanser berulang, sama ada di dada, atau di bahagian lain badan. Terdapat beberapa kajian sejak beberapa tahun yang melihat sama ada imunoterapi membantu orang hidup lebih lama. Sesetengah kajian menunjukkan manfaat, yang lain tidak.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari empat pangkalan data berkomputer dan lima daftar kajian hingga 19 Mei 2021. Kami melihat semua kajian rawak yang meletakkan peserta untuk satu rawatan atau rawatan satu lagi (kajian rawak terkawal, RCT), dan menyertakan orang dewasa (berumur 18 tahun ke atas) dengan NSCLC awal (peringkat I hingga III), yang disahkan oleh ujian makmal sampel tumor. Kami mendapati 11 RCT, melibatkan lebih 5000 peserta yang telah menjalani pembedahan atau radioterapi kuratif, dan diletakkan secara rawak untuk menerima sama ada imunoterapi atau tiada rawatan lanjut.

Keputusan utama

Kami mendapati pemberian imunoterapi, terutamanya berasaskan vaksin (bertujuan untuk mengaktifkan sistem imun perumah bagi mencetus respon imun manusia terhadap antigen tumor spesifik), selepas pembedahan atau radioterapi tidak membuat orang hidup lebih lama. Orang yang diberi imunoterapi berasaskan vaksin dilihat tidak mengalami lebih kesan sampingan berbanding yang lain. Kami tidak menemui keputusan yang boleh memberitahu kami sama ada penambahan imunoterapi memperbaik kualiti hidup. Buat masa ini, tiada bukti untuk menyokong atau menyangkal pemberian imunoterapi (terutamanya berasaskan vaksin) kepada orang dengan NSCLC setempat (peringkat I hingga III). RCT yang sedang berlangsung menguji ubat imunoterapi baharu yang lebih memberi harapan (cth perencat titik semak).

Kualiti bukti

Bukti yang kami temui tentang survival keseluruhan dan survival bebas progresi adalah berkualiti tinggi dan sederhana. Apabila mencari bukti tentang berapa ramai peserta dapat hidup hingga satu, dua, tiga atau lima tahun, ia hanyalah berkualiti sederhana atau rendah, kerana RCT tidak dijalankan dengan begitu baik, dan keputusannya tidak bersetuju di antara satu sama lain. Bukti untuk sebarang kejadian buruk dan teruk adalah berkualiti rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information