Insulin skala luncur untuk orang dewasa yang dimasukkan ke hospital tanpa sakit kritikal dengan diabetes mellitus

Soalan ulasan

Apakah kesan insulin skala luncur berbanding terapi insulin lain untuk orang dewasa tanpa sakit kritikal yang dimasukkan ke hospital dengan diabetes mellitus?

Latar belakang

Terdapat beberapa pilihan untuk merawat orang dengan diabetes yang dimasukkan ke hospital. Tahap glukosa rendah (hipoglikemia) dan tahap glukosa tinggi (hiperglikemia) mungkin meningkatkan risiko kematian dan komplikasi seperti jangkitan dan tinggal di hospital lebih lama dan oleh itu harus dielakkan. Kaedah yang paling biasa untuk merawat pesakit diabetes yang dimasukkan ke hospital adalah terapi insulin skala luncur. Istilah ‘skala luncur’ merujuk kepada peningkatan pemberian dos insulin sebelum makan berdasarkan kepada bacaan gula sebelum makan. Sebagai contoh, jika seseorang mempunyai tahap glukosa darah antara 140 mg/dL hingga 180 mg/dL, dos insulin biasa yang bertindak jangka pendek boleh menjadi 4 unit insulin, dan untuk tahap glukosa darah antara 181 mg/dL dan 220 mg/dL, ia boleh menjadi 6 unit insulin. Aplikasi insulin jenis kaku ini biasanya menetapkan jumlah karbohidrat yang perlu dimakan pada setiap hidangan tetapi tidak menyampaikan insulin secara fisiologi. Oleh itu, diragukan adakah kawalan glisemik yang baik (tahap glukosa darah memuaskan) boleh dicapai dengan insulin skala luncur dalam pesakit diabetes yang dirawat di hospital dan adakah pendekatan ini mempunyai hasil yang lebih baik pada jangka masa panjang. Terdapat strategi insulin lain seperti latar belakang (basal) dos insulin yang digabungkan dengan insulin sebelum makan fleksibel (bolus insulin) mengikut apa dan sebanyak mana orang ingin makan. Insulin skala luncur bermaksud mematuhi jadual makanan dan aktiviti fizikal dengan ketat, dan orang mesti mengikuti diet yang ditetapkan. Terapi insulin yang diperkuat (strategi basal-bolus) membolehkan dos insulin yang fleksibel mengikut aktiviti fizikal, tekanan, dan pilihan makanan, dan dalam keadaan hospital menuntut kakitangan perubatan yang terlatih. Insulin skala luncur masih banyak digunakan, dan masih belum jelas strategi insulin mana yang terbaik untuk merawat pesakit diabetes di hospital.

Ciri-ciri kajian

Kami menemui lapan kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta ditugaskan ke satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan secara rawak (di mana 387 orang dengan terapi insulin skala luncur dan 615 dengan rawatan insulin basal-bolus dengan diabetes jenis 2 dapat dianalisa. Tempoh purata tinggal di hospital adalah antara lima hingga 24 hari. Enam kajian membandingkan insulin skala luncur dengan insulin basal-bolus; satu kajian membandingkan insulin skala luncur dengan insulin basal sahaja; dan kajian selebihnya menggunakan kemasukan insulin berterusan sebagai kumpulan kawalan. Purata umur peserta adalah 44.5 tahun hingga 71 tahun.

Bukti adalah terkini sehingga Disember 2017.

Hasil utama

Perbandingan utama adalah antara insulin skala luncur dan terapi basal-bolus insulin dengan hasil berikut. Daripada empat kajian yang melaporkan kematian, satu daripada 268 peserta dalam kumpulan SSI dibandingkan dengan dua daripada 334 peserta dalam kumpulan basal-bolus yang meninggal dunia. Episod hipoglikemia teruk, ditakrifkan sebagai tahap glukosa darah dibawah 40 mg/dL berlaku dalam 5 daripada 1000 orang dalam kumpulan insulin skala luncur berbanding 24 daripada 1000 orang dalam kumpulan insulin basal-bolus. Data ini adalah tidak pasti kerana analisis selanjutnya tidak menunjukkan kesan positif atau negatif yang membandingkan kedua-dua strategi insulin. Tempoh tinggal di hospital bagi kumpulan insulin skala luncur dibandingkan dengan kumpulan insulin basal-bolus adalah 0.5 hari lebih lama, sekali lagi analisis lebih lanjut menunjukkan bahawa maklumat ini adalah tidak pasti. Hasil untuk peristiwa buruk selain episod hipoglikemik, seperti jangkitan kuman selepas pembedahan, tidak menunjukkan kelebihan atau kekurangan untuk mana-mana strategi. Tahap purata glukosa darah semasa tinggal di hospital dalam kumpulan insulin skala luncur adalah 14.8 mg/dL lebih tinggi berbanding kumpulan insulin basal-bolus. Kami tidak pasti tentang data ini kerana analisis tidak menunjukkan kesan positif atau negatif yang membandingkan kedua-dua strategi insulin. Tiada kajian yang melaporkan kematian disebabkan oleh diabetes atau kesan sosioekonomi seperti kos intervensi atau tidak hadir bekerja.

Kepastian bukti

Secara keseluruhan, keyakinan kami terhadap hasil untuk semua analisis adalah rendah atau sangat rendah kerana bilangan kajian dan peserta yang sedikit dan kerana keputusan adalah tidak tepat, di mana ia boleh berubah ke arah mana pun apabila kajian baru diterbitkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fida Muhammad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information