Melatonin dan agomelatine untuk pencegahan kemurungan musim sejuk

Mengapa ulasan ini penting?

Ramai orang di latitud utara mengalami gangguan afektif bermusim (SAD), ia merupakan tindakbalas akibat kekurangan pendedahan cahaya matahari. Tiga perempat daripada mereka yang terlibat merupakan wanita. Tidak bermaya, makan berlebihan, mengidamkan makanan dari sumber karbohidrat dan perasaan murung adalah merupakan simptom-simptom yang lazim. Bagi sesetengah orang, SAD berubah menjadi kemurungan, dan ia menjejaskan kehidupan seharian mereka dengan serius. Sehingga dua pertiga orang mengalami simptom kemurungan bagi setiap musim sejuk.

Siapakah yang akan berminat dengan ulasan ini?

Pengamal perubatan umum, pakar psikiatri, ahli farmasi, ahli profesional kesihatan lain yang bekerja dalam perkhidmatan kesihatan mental dewasa, dan penyelidik-penyelidik berkemungkinan berminat dengan keputusan kajian ini. Sesiapa yang pernah mengalami kemurungan musim sejuk, atau mempunyai saudara-mara dan rakan-rakan yang pernah mengalami kemurungan musim sejuk, juga mungkin berminat.

Apakah soalan-soalan yang cuba dijawab oleh ulasan ini?

Kerana SAD mempunyai corak bermusim dan perulangan yang tinggi, maka, melatonin atau agomelatine mungkin boleh digunakan untuk mencegah permulaan perasaan tertekan. Matlamat laporan ini adalah untuk memeriksa sama ada manfaat melebihi kemudaratan dalam penggunaan melatonin atau agomelatine bagi mengelakkan bermulanya episod depresif yang baru pada pesakit yang mempunyai sejarah SAD dan bebas daripada simptom-simptom apabila intervensi pencegahan bermula. Sehingga kini, soalan ini tidak pernah dikaji secara sistematik. Ini adalah salah satu daripada empat ulasan mengenai keberkesanan dan potensi kemudaratan intervensi untuk mencegah SAD.

Kajian-kajian manakah yang telah dimasukkan ke dalam ulasan ini?

Kami telah menjalankan pencarian dalam pangkalan data sehingga Jun 2018 bagi kajian-kajian yang berkaitan dengan melatonin atau agomelatine untuk pencegahan kemurungan musim sejuk. Antara 3745 rekod, kami mendapati terdapat satu kajian yang dikawal secara rawak membuat pembandingan antara agomelatine dengan plasebo selama satu tahun. Kesemua 225 peserta mempunyai sejarah kemurungan musim sejuk tetapi tidak tertekan semasa kajian pencegahan bermula.

Apakah bukti-bukti yang ditunjukkan oleh ulasan tersebut?

Kajian tersebut menunjukkan tiada sebarang kesan yang jelas atau berlawanan mengenai agomelatine sebagai rawatan pencegahan. Selain itu, bukti kepastian untuk semua hasil keputusan adalah sangat rendah, menjadikan ia mustahil untuk membuat sebarang kesimpulan tentang keberkesanan dan keselamatan agomelatine untuk pencegahan kemurungan musim sejuk. Tiada bukti dapat mengaitkan keberkesanan penggunaan melatonin untuk pencegahan SAD.

Doktor perlu berbincang dengan pesakit yang mempunyai sejarah SAD bahwa bukti mengenai agomelatine atau melatonin sebagai pilihan rawatan pencegahan untuk SAD adalah tidak muktamad, oleh itu pemilihan rawatan haruslah berdasarkan keutamaan pesakit dan juga berdasarkan bukti asas bagi semua pilihan rawatan yang ada.

Apakah yang perlu dilakukan seterusnya?

Pengarang ulasan mengesyorkan bahawa kajian pada masa hadapan patut menilai keberkesanan agomelatine atau melatonin dalam mencegah SAD dan menbandingkan intervensi tersebut secara terus dengan rawatan pencegahan lain, seperti terapi cahaya, antidepresan, atau terapi-terapi psikologi untuk mengenal pasti pilihan rawatan terbaik bagi pencegahan SAD.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Di sunting oleh Intan Juliana Abd Hamid (Institut Perubatan & Pergigian Termaju, USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi mastura.malek78@gmail.com

Tools
Information