Terapi psikologi untuk pencegahan kemurungan musim sejuk

Mengapakah ulasan ini penting?

Ramai orang di latitud utara mengalami gangguan afektif bermusim (SAD), yang berlaku akibat tindakbalas kepada kekurangan cahaya matahari. Tiga perempat daripada mereka yang terlibat adalah wanita. Kelesuan, makan berlebihan, sangat inginkan karbohidrat dan perasaan murung adalah simptom lazim. Bagi sesetengah orang, SAD menjadi kemurungan, yang mempengaruhi kehidupan seharian mereka dengan serius. Sehingga dua pertiga orang mengalami simptom kemurungan setiap musim sejuk.

Siapakah yang akan berminat dengan ulasan ini?

Sesiapa yang telah mengalami SAD atau sesiapa yang mempunyai saudara mara dan rakan-rakan yang pernah mengalami SAD, dan juga para penyelidik yang bekerja dalam bidang ini akan berminat dengan ulasan ini.

Apakah soalan yang cuba dijawab oleh ulasan ini?

Aspek bermusim SAD yang boleh diramal memberi peluang yang diharapkan untuk pencegahan. Walau bagaimanapun, hanya sedikit diketahui tentang efikasin dan potensi mudarat intervensi untuk mencegah SAD. Ini merupakan satu daripada empat ulasan yang dijalankan untuk mengkaji efikasi dan kesan sampingan intervensi yang diguna untuk mencegah SAD; ulasan ini memfokus terapi psikologi sebagai intervensi pencegahan dalam kalangan orang dengan sejarah SAD yang bebas simptom ketika intervensi pencegahan dimulakan.

Kajian mana yang telah dimasukkan ke dalam ulasan ini?

Kami mencari pangkalan data sehingga 19 Jun 2018 untuk kajian-kajian tentang terapi psikologi bagi mencegah SAD. Daripada 3745 rekod, kami mendapati satu kajian rawak terkawal yang melibatkan 46 orang yang menerima satu bentuk terapi psikologi - yand dikenali sebagai terapi kognitif berdasarkan kesedaran (MBCT) atau rawatan seperti biasa. Rawatan seperti biasa bermaksud peserta tidak menerima sebarang rawatan pencegahan tetapi dijemput untuk memulakan terapi cahaya apabila simptom kemurungan pertama berlaku. Semua individu di dalam kajian tersebut mempunyai sejarah kemurungan musim sejuk dan bebas simptom kemurungan apabila kajian dimulakan.

Apakah yang ditunjukkan oleh bukti daripada ulasan ini?

Kadar peserta yang mengalami kemurungan pada musim sejuk yang seterusnya dan keterukan episod kemurungan adalah sama di dalam kedua-dua kumpulan. Walau bagaimanapun, kualiti bukti adalah sangat rendah, oleh itu kami tidak boleh membuat kesimpulan kukuh jika MBCT memang tidak berkesan dalam mencegah SAD atau tidak. Kajian yang dimasukkan tidak melaporkan maklumat tentang kesan sampingan intervensi tersebut. Para doktur perlu berbincang dengan pesakit tentang kebaikan dan keburukan MBCT dan rawatan pencegahan berpotensi lain untuk kemurungan musim sejuk, seperti terapi psikologi lain, rawatan ubat atau intervensi gaya hidup. Oleh kerana tiada kajian yang membandingkan rawatan-rawatan tersebut, pilihan rawatan sepatutnya dilakukan berdasarkan keutamaan pesakit dan intervensi pencegahan lain yang disokong oleh bukti.

Apa yang patut berlaku selepas ini?

Pengarang ulasan mengesyorkan kajian pada masa hadapan patut menilai efikasi pelbagai terapi psikologi dalam mencegah SAD dalam sampel kajian yang lebih besar dan patut membandingkan intervensi tersebut secara terus dengan rawatan pencegahan lain, seperti terapi cahaya, antidepresan dan agomelatine, untuk menentukan pilihan rawatan terbaik bagi pencegahan SAD.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com

Tools
Information
Share/Save