Terapi komplementari dan alternatif untuk sakit selepas pembedahan caesarean

Latar belakang

Kesakitan selepas pembedahan caesarean (CS) boleh menjejaskan kesejahteraan ibu dan interaksi dengan bayinya. Untuk menguruskan penghilang rasa sakit dalam tempoh ini, kebanyakan wanita menerima ubat analgesik. Walau bagaimanapun, ubat-ubatan ini berpotensi menyebabkan kesan sampingan pada ibu dan bayinya. Terapi komplementari dan alternatif (CAM) boleh menjadi kaedah yang selamat untuk mengurangkan kesakitan selepas CS tanpa kesan buruk.

Apakah persoalannya?

Apakah kesan CAM dalam rawatan kesakitan selepas pembedahan caesarean?

Mengapakah hal ini penting?

Hasil ulasan ini akan berguna untuk memaklumkan para wanita, bidan dan doktor mengenai potensi faedah dan kekurangan CAM untuk menghilangkan kesakitan selepas CS.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari penulisan pada bulan September 2019 dan menemui 37 kajian yang menilai lapan jenis CAM yang berbeza. Kepastian bukti daripada kajian-kajian ini adalah rendah hingga sangat rendah, yang bermaksud kami tidak boleh yakin dengan penemuan ini. Sebab-sebab utamanya ialah hasil kajian tidak sentiasa dilaporkan sepenuhnya atau dengan jelas, kajian-kajian mempunyai had yang serius, dan hasil kajian yang kurang tepat.

Akupunktur atau akupresur

Kami tidak pasti sama ada akupunktur atau akupresur (berbanding tanpa rawatan) atau akupunktur atau akupresur ditambah analgesia (berbanding plasebo ditambah analgesia) mempunyai sebarang kesan terhadap kesakitan kerana kualiti bukti adalah sangat rendah. Akupunktur atau akupresur ditambah analgesia (berbanding analgesia) mungkin boleh mengurangkan kesakitan pada 12 jam dan 24 jam.

Kami tidak pasti sama ada akupunktur atau akupresur (berbanding tanpa rawatan) atau akupunktur atau akupresur ditambah analgesia (berbanding analgesia) mempunyai sebarang kesan terhadap risiko kesan buruk kerana kualiti bukti adalah sangat rendah.

Aromaterapi

Aromaterapi mungkin dapat mengurangkan kesakitan pada 12 dan 24 jam jika dibandingkan dengan plasebo ditambah analgesia. Tidak dapat dipastikan apakah aromaterapi dibandingkan dengan plasebo dan analgesia mempunyai kesan terhadap kesan buruk (kegelisahan).

Terapi elektromagnetik

Terapi elektromagnetik mungkin dapat mengurangkan kesakitan pada 12 dan 24 jam dan mungkin dapat mengurangkan keperluan analgesik penyelamatan berbanding dengan plasebo dan analgesia.

Terapi urutan

Kami tidak pasti sama ada urutan tangan dan kaki ditambah analgesia, berbanding analgesia, mempunyai sebarang kesan pada kesakitan, kesan buruk (kegelisahan) kadar degupan jantung dan kadar pernafasan kerana kualiti bukti adalah sangat rendah.

Terapi muzik

Muzik ditambah analgesia, berbanding plasebo ditambah analgesia, mungkin dapat mengurangkan kesakitan pada satu dan 24 jam. Tidak dapat dipastikan jika muzik ditambah analgesia, dibandingkan dengan plasebo ditambah analgesia, mempunyai sebarang kesan terhadap risiko kesan buruk (kegelisahan) atau terhadap kadar degupan jantung.

Muzik ditambah analgesia berbanding dengan analgesia mungkin dapat mengurangkan kesakitan pada satu dan 24 jam.

Reiki

Tidak dapat dipastikan apakah Reiki, dibandingkan dengan analgesia mempunyai sebarang kesan terhadap kesakitan pada satu jam atau 24 jam, kesan buruk (kegelisahan) atau tanda-tanda utama kerana kualiti bukti adalah sangat rendah.

Relaksasi

Tidak dapat dipastikan sama ada relaksasi, berbanding dengan rawatan piawai, mempunyai sebarang kesan pada kesakitan pada 12 jam tetapi ianya mungkin dapat mengurangkan rasa sakit pada 24 jam selepas intervensi.

Rangsangan saraf elektrik transkutan (TENS)

TENS mungkin dapat mengurangkan kesakitan pada satu jam selepas intervensi, berbanding dengan tanpa rawatan.

TENS ditambah analgesia, berbanding plasebo ditambah analgesia, mungkin dapat mengurangkan kesakitan, kadar degupan jantung dan kadar pernafasan.

Tidak dapat dipastikan jika TENS ditambah analgesia, berbanding dengan analgesia, mempunyai sebarang kesan terhadap kesakitan pada enam atau 24 jam selepas intervensi atau pada tanda-tanda utama atau pada keperluan analgesik penyelamatan.

Apakah maksudnya?

Mungkin ada beberapa manfaat akupunktur atau akupresur, aromaterapi, terapi elektromagnetik, urutan, terapi muzik, relaksasi, dan TENS dalam pengurusan kesakitan pada wanita yang menjalani CS. Dari kajian-kajian ini, bukti mengenai kesan berbahaya CAM adalah kurang atau sangat tidak pasti.

Oleh kerana kawalan kesakitan adalah hasil yang paling relevan bagi wanita pasca-CS dan doktor mereka, adalah penting bahawa kajian masa depan tentang CAM untuk kesakitan pasca-CS supaya mengukur kesakitan, terutamanya sebab perkadaran peserta dengan sekurang-kurangnya sederhana (30%) atau besar (50%) kelegaaan kesakitan. Kajian masa depan juga perlu cukup besar untuk mengesan kesan terhadap hasil klinikal; mengukur hasil penting lain seperti yang disenaraikan dalam ulasan ini, dan menggunakan skala yang disahkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Sultan Zainal Abidin). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save