Penggunaan isipadu kecil insuflasi nafas untuk pengudaraan mekanikal intraoperatif semasa pembedahan

Latar belakang

Inspirasi (menarik nafas) dihasilkan oleh pemendekan (pengecutan) pelbagai otot yang meregangkan paru-paru untuk meningkatkan saiznya seperti belon getah. Semasa fasa ini, oksigen memasuki paru-paru. Apabila otot-otot ini menghentikan pengecutannya, paru-paru kembali ke saiz asalnya. Semasa fasa ini, karbon dioksida keluar dari paru-paru. Apabila orang dirawat di bawah bius am, beberapa ubat yang digunakan akan menghentikan pergerakan otot yang mengawal saiz paru-paru. Insuflasi ialah tindakan memaksa udara secara mekanikal ke dalam sistem pernafasan seseorang. Sebuah mesin diperlukan untuk menggantikan kesan otot. Campuran gas yang mengandungi oksigen dihembus ke dalam paru-paru. Ia sebenarnya tidak diketahui sama ada lebih baik untuk meniup isipadu kecil gas pada kadar yang lebih tinggi atauisipadu yang lebih besar pada kadar yang lebih rendah. Dalam ulasan ini, kami cuba menentukan sama ada isipadu ini harus kurang atau lebih daripada 10 mililiter per kilogram berat badan.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data perubatan sehingga 19 Mei 2017. Kami memasukkan 19 kajian dengan 1548 orang dewasa kedua-dua jantina. Para peserta telah menjalani pembedahan pada abdomen (perut), jantung, saluran darah paru-paru, belakang, kaki atau pelbagai pembedahan. Dua kajian menyebut sokongan kewangan daripada industri farmaseutikal atau daripada pengeluar peralatan perubatan. Kami tidak fikir bahawa sokongan ini akan membawa kesan pada keputusan kerana isipadu tinggi atau rendah boleh diberikan dengan mana-mana mesin.

Keputusan utama

Kami tidak menemui perbezaan dalam kematian pada hari ke 0 hingga 30 (kematian dalam tempoh satu bulan). Kami mendapati bahawa menggunakan isipadu yang kurang daripada 10 mililiter per kilogram berat badan mengurangkan risiko radang paru-paru (jangkitan paru-paru) dan meningkatkan peluang orang ramai akan dapat kembali ke status pernafasan normal mereka sejurus selepas pembedahan. Isipadu rendah harus digunakan sebagai keutamaan semasa pembedahan. Bagi setiap 1000 orang yang dibedah, 84 orang akan mengalami radang paru-paru selepas pembedahan jika jumlah yang tinggi digunakan semasa pembedahan. Bilangan ini dikurangkan kepada 43 jika isipadu rendah digunakan sebaliknya. Begitu juga, bilangan orang yang memerlukan sokongan tambahan pernafasan bukan invasif (melalui topeng yang digunakan pada muka) akan dikurangkan daripada 115 kepada 36 jika isipadu yang kurang daripada 10 mililiter per kilogram berat badan digunakan semasa pembedahan dan memerlukan sokongan pernafasan invasif (melalui tiub yang dimasukkan ke dalam saluran pernafasan orang itu) akan dikurangkan daripada 39 kepada 13. Tempoh tinggal di hospital mungkin dikurangkan sedikit (bersamaan dengan hampir satu hari). Kami mengenal pasti tiada kemungkinan kesan berbahaya daripada menggunakan isipadu rendah.

Kebolehpercayaan bukti

Kami menilai kebolehpercayaan bukti sebagai sederhana untuk radang paru-paru dan mengurangkan keperluan untuk sokongan pernafasan (bukan invasif atau invasif). Keputusan pada ketiga-tiga hasil ini mungkin terjejas dengan data tambahan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information