Mengesan kanser kolorektal berulang dengan menguji antigen karsino-embrionik darah (CEA).

Latar belakang

Selepas pembedahan untuk kanser dalam kolon atau rektum (kanser kolorektal), kebanyakan pesakit disusuli secara intensif selama sekurang-kurangnya lima tahun untuk memantau tanda-tanda kanser itu kembali. Apabila ini berlaku, ia biasanya menyebabkan peningkatan dalam protein darah yang dipanggil CEA (antigen karsino-embrionik). Tahap CEA yang meningkat boleh diambil melalui ujian darah, yang biasanya dilakukan setiap tiga hingga enam bulan selepas pembedahan kanser kolorektal. Mereka yang mempunyai paras CEA yang meningkat disiasat lebih lanjut oleh pengimejan x-ray (biasanya imbasan dada, perut dan pelvis). Kami menjalankan ulasan ini untuk membantu memutuskan tahap CEA darah yang harus membawa kepada penyiasatan lanjut.

Keputusan Utama

Ulasan ini menunjukkan bahawa menetapkan titik ambang yang rendah akan meningkatkan bilangan kes tulen kanser kolorektal berulang yang dikesan (positif benar), tetapi ambang yang rendah juga akan menyebabkan penggera yang tidak perlu dengan silap mengelaskan terlalu banyak kes yang bukan sebenarnya berulang (positif palsu). Di samping itu, ulasan ini menunjukkan bahawa kenaikan CEA tidak berlaku dalam kira-kira 20% pesakit dengan pengulangan sebenar (negatif palsu). Bukti semasa menyokong penggunaan titik ambang tertinggi yang dinilai (10 µg/L), tetapi penambahan modaliti diagnostik lain (contohnya imbasan tunggal dada, perut dan pelvis pada 12 hingga 18 bulan) adalah perlu untuk mengelakkan kes terlepas.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Kien How (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information