Lemak omega-6 untuk mencegah dan merawat penyakit jantung dan peredaran darah

Soalan ulasan

Kami mengulas kajian rawak (peserta berpeluang sama untuk diperuntukkan salah satu rawatan) bagi menilai kesan lemak omega-6 yang lebih tinggi berbanding dengan lemak omega-6 yang lebih rendah terhadap kematian dan penyakit jantung dan peredaran darah (penyakit kardiovaskular (CVD), termasuk serangan jantung dan strok).

Latar belakang

Lemak omega-6 adalah penting dan kita perlu dapatkannya daripada beberapa makanan. Ia penting untuk melaraskan pengeluaran tenaga (sebahagian daripada metabolisme), tulang, kulit dan kesihatan rambut. Banyak makanan mengandungi lemak omega-6, terutamanya minyak sayuran dan kacang. Lemak omega-6 termasuk asid linoleik (LA), asid gamma-linolenik (GLA), asid dihomo-gamma-linolenik (DGLA) dan asid arakidonik (AA).

Beberapa bukti menunjukkan pengambilan lemak omega-6 yang lebih tinggi, bersama dengan pengambilan lemak tepu yang rendah (dari sumber haiwan seperti daging dan keju) dapat mengurangkan penyakit jantung koronari. Sebaliknya, terdapat kebimbangan bahawa tahap lemak omega-6 yang tinggi boleh memburukkan lagi risiko kardiovaskular dengan meningkatkan keradangan. Secara keseluruhan, tidak terdapat bukti konklusif mengenai manfaat atau mudarat pengambilan lemak omega-6 terhadap penyakit jantung dan peredaran darah atau kepada hasil kesihatan lain.

Ciri-ciri kajian

Bukti dalam ulasan ini adalah terkini sehingga Mei 2017. Kami mendapati 19 kajian yang merekrut 6461 orang dewasa. Kajian-kajian tersebut menilai kesan pengambilan lemak omega-6 yang lebih tinggi berbanding yang lebih rendah terhadap penyakit jantung dan peredaran darah dan juga kematian. Kami mendapati tiga kajian yang boleh dipercaya (dengan reka bentuk yang baik yang menghasilkan bukti yang boleh dipercaya). Kajian-kajian dijalankan di Amerika Utara, Asia, Eropah dan Australia, dan lapan kajian hanya dibiaya oleh agensi kebangsaan atau amal. Para peserta meningkatkan lemak omega-6 mereka atau mengekalkan lemak biasa mereka untuk sekurang-kurangnya satu tahun sehingga lapan tahun.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa lemak omega-6 yang tinggi mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada kematian atau kejadian kardiovaskular tetapi boleh mengurangkan risiko serangan jantung (bukti berkualiti rendah). Bukti telah dilemahkan oleh masalah reka bentuk kajian, bilangan kecil kejadian buruk, bilangan peserta yang kurang dari negara-negara membangun, dan segelintir wanita.

Bukti menunjukkan peningkatan lemak omega-6 mengurangkan kolesterol darah (bukti berkualiti tinggi), mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan kepada berat badan yang disesuaikan untuk ketinggian (semua bukti berkualiti sederhana), dan boleh membuat perbezaan sedikit atau tiada perbezaan kepada trigliserida, lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL, kolesterol 'baik') atau lipoprotein ketumpatan rendah (LDL, kolesterol 'buruk', bukti berkualiti rendah).

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save