Senaman berperantara penjaga untuk mempertingkatkan pencapaian selepas strok

Soalan ulasan

Apakah kesan daripada melakukan senaman dengan seorang penjaga selepas strok ke atas ukuran hasil kajian bagi orang-orang dengan strok dan kebebanan untuk penjaga?

Latar belakang

Strok adalah punca utama kecacatan dewasa yang diperolehi. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa apabila lebih banyak masa dihabiskan untuk terapi senaman pada minggu-minggu sehingga bulan-bulan pertama selepas strok akan membawa kepada fungsi yang lebih baik. Oleh kerana kekurangan kakitangan dan sumber, adalah sukar dalam amalan untuk menghabiskan lebih banyak masa pada terapi senaman dalam tempoh masa ini. Salah satu kaedah untuk meningkatkan masa senaman ini adalah untuk melibatkan penjaga dalam melaksanakan latihan senaman bersama-sama dengan pesakit strok. Semasa latihan senaman ini, jurulatih terapi mengajar pesakit dan penjaga dan suatu penilaian dirancang pada masa yang tetap.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mengenal pasti sembilan kajian klinikal sehingga Oktober 2015, dimana semua kajian menyiasat beberapa bentuk senaman berperantara penjaga berbanding dengan penjagaan biasa, tiada rawatan (intervensi), atau intervensi lain yang tidak berperantara penjaga.

Keputusan utama

Kami memasukkan 333 pasangan penjaga-pesakit dalam ulasan ini. Kami mendapati kajian di mana senaman berperantara penjaga tersendiri adalah subjek yang dikaji (dipanggil CME-core). Selain itu, kami mendapati kajian-kajian di mana penjaga adalah pemberi intervensi lain yang telah sedia ada. Dalam kategori kedua, ia adalah sukar untuk memisahkan kesan senaman berperantara penjaga dari kesan intervensi yang lain.

Kami menemui bukti bahawa senaman berperantara penjaga boleh mempunyai kesan positif ke atas imbangan berdiri pesakit (bukti yang berkualiti rendah) dan kualiti hidup (bukti yang berkualiti sangat rendah) secara langsung selepas intervensi. Dalam jangka masa panjang, kami mendapati bukti yang berkualiti sangat rendah untuk kesan positif ke atas jarak berjalan kaki. Untuk kelajuan penggunaan lengan dan tangan, kami mendapati bukti yang berkualiti rendah memihak kepada kumpulan kawalan.

Kami mendapati tiada kesan sampingan yang ketara atau kesan yang baik pada beban penjaga; kami menilai kualiti bukti ini sebagai sederhana (selepas intervensi) hingga sangat rendah (jangka panjang). Tambahan pula, kami mendapati tiada kesan yang penting untuk aktiviti asas kehidupan harian, seperti berpakaian dan mandi, selepas intervensi (bukti berkualiti sederhana) atau pada tempoh susulan (bukti yang berkualiti rendah). Di samping itu, kami mendapati tiada kesan yang penting untuk aktiviti-aktiviti tambahan kehidupan harian, seperti memasak dan berkebun, selepas intervensi atau pada tempoh susulan (kedua-dua ybukti yang berkualiti rendah).

Dalam analisis CME-core, kami mendapati bukti yang berkualiti sederhana untuk kesan positif senaman berperantara untuk aktiviti asas kehidupan harian.

Dapat disimpulkan bahawa senaman berperantara penjaga mungkin berpotensi menjadi satu bentuk terapi tambahan kepada penjagaan biasa.

Kualiti bukti

Bilangan kajian yang termasuk adalah kecil dan tahap bukti kualiti adalah rendah hingga sederhana. Oleh itu, keputusan harus ditafsirkan dengan berhati-hati.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College) Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi nila@pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save