Shunt Intrahepatik shunt pada orang dewasa dengan kegagalan buah pinggang akibat penyakit hati

Soalan ulasan

Shunt intrahepatik berbanding dengan rawatan konvensional: manakah yang terbaik untuk memperbaiki keadaan klinikal orang dewasa dengan sindrom hepatorenal?

Mesej utama

– Kami tidak menemui bukti berkualiti baik yang mencukupi tentang faedah dan bahaya shunt intrahepatik untuk menambahbaik keadaan klinikal pada orang dewasa dengan sindrom hepatorenal.

– Kajian klinikal rawak yang lebih besar (kajian di mana orang dimasukkan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dengan data yang lebih dipercayai adalah diperlukan untuk menilai dengan lebih baik faedah dan bahaya merawat sindrom hepatorenal.

– Penyelidikan masa depan juga harus memberi tumpuan kepada kualiti hidup berkaitan kesihatan, dan fungsi buah pinggang dan hati pada orang dewasa dengan sindrom hepatorenal untuk membantu membimbing membuat keputusan.

Apakah sindrom hepatorenal?

Sindrom hepatorenal adalah keadaan di mana kegagalan buah pinggang yang berkembang pada orang yang mempunyai penyakit hati kronik, peningkatan tekanan vena portal (salur darah utama yang membawa darah ke hati), dan cecair di dalam perut akibat aliran darah rendah ke buah pinggang. Orang dengan sindrom hepatorenal boleh bertahan sehingga enam bulan jika mereka tidak menjalani pemindahan hati.

Bagaimanakah sindrom hepatorenal dirawat?

Rawatan digunakan untuk menambahbaik keadaan klinikal dan fungsi buah pinggang sehingga pemindahan hati. Ini termasuk penggunaan ubat-ubatan, albumin (protein yang dibuat oleh hati yang membantu menghentikan cecair keluar dari saluran darah ke bahagian lain badan), penyingkiran cecair perut, dan penempatan shunt transjugular intrahepatik portosystemik (TIPS; prosedur bukan pembedahan di mana stent (tiub) dimasukkan untuk mewujudkan sambungan baru antara saluran darah untuk mengurangkan tekanan dalam perut).

Apakah yang ingin kami cari?

Walaupun rawatan ini nampaknya membantu, ia telah dilaporkan mempunyai beberapa kesan sampingan, jadi maklumat tentang kesan bermanfaat dan berbahaya TIPS masih tidak jelas.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian klinikal rawak yang membandingkan penempatan TIPS dengan rawatan konvensional, tiada rawatan atau rawatan lain pada orang dewasa yang berumur lebih daripada 18 tahun, daripada mana-mana jantina dan etnik dengan sindrom hepatorenal dan tanpa kegagalan buah pinggang sebelumnya.

Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui dua kajian, dengan 130 orang dewasa berumur 56 hingga 61 tahun, membandingkan penempatan TIPS dengan penyingkiran cecair rongga perut serta rawatan albumin (terapi konvensional). Satu kajian telah dijalankan di Sepanyol dan AS, dan satu di Jerman. Peserta dipantau sehingga 24 bulan.

Keputusan utama

Secara umum, TIPS tidak mengurangkan kematian, perkembangan penyakit lain, perkembangan kesan sampingan, dan tempoh tinggal di hospital, juga tidak memberikan keputusan yang jelas mengenai penambahbaikan fungsi buah pinggang pada bulan-bulan berikutnya berbanding terapi konvensional.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak yakin tentang bukti kerana kami menemui hanya dua kajian kecil, terdapat sedikit keputusan untuk setiap hasil ukuran, terdapat bilangan peserta yang terhad, dan terdapat perbezaan antara cara kedua-dua kajian itu dijalankan.

Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menilai sama ada penempatan TIPS mempunyai sebarang kesan pada kematian, kualiti hidup, perubahan dalam fungsi buah pinggang, dan tempoh tinggal di hospital pada orang dewasa dengan sindrom hepatorenal untuk menambahbaik keadaan klinikal mereka sehingga mereka boleh menjalani pemindahan hati. Oleh itu, penyelidikan lanjut berkemungkinan mengubah keputusan ulasan ini.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 2 Jun 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information