Rangsangan magnetik transkranial untuk rawatan epilepsi

Latar belakang

Epilepsi adalah gangguan neurologi biasa yang muncul dalam pelbagai bentuk. Ramai individu dengan epilepsi mempunyai kawalan sawan yang memuaskan dengan penggunaan ubat-ubatan antiepileptik. Namun, hampir sepertiga orang dengan epilepsi menderita sawan yang kerap dan tidak terkawal walaupun menggunakan ubat, atau tidak dapat bertoleransi dengan kesan sampingan ubat-ubatan tersebut. Pembedahan adalah satu pilihan bagi beberapa orang dengan sawan yang tidak terkawal, tetapi ianya invasif dan tidak sesuai untuk semua individu. Akibatnya, masih ada keperluan besar untuk terapi yang selamat dan berkesan untuk penyakit epilepsi yang sukar dirawat ini.

Rangsangan magnetik transkranial (TMS) adalah salah satu daripada beberapa rawatan yang lebih baru yang berpotensi memberi pesakit epilepsi alternatif yang selamat dan tidak invasif berbanding pembedahan. Selain telah lama digunakan sebagai alat penyelidikan untuk mengkaji fungsi otak, TMS juga telah dikaji sebagai kemungkinan rawatan untuk sejumlah keadaan sistem saraf, termasuk epilepsi. Rawatan tanpa pembedahan dan tanpa rasa sakit ini menggunakan arus magnetik yang disebabkan untuk mengatur fungsi otak bagi mengurangkan kecenderungan untuk mengalami sawan.

Objektif

Kami bertujuan dalam tinjauan ini untuk menilai bukti penggunaan rangsangan transkranial magnetik berulang (rTMS) pada individu dengan epilepsi berbanding dengan rawatan lain yang ada dalam mengurangkan frekuensi sawan, meningkatkan kualiti hidup, mengurangkan pelepasan epileptiform (kelainan pada ujian elektrografik otak yang menunjukkan gangguan otak atau kecenderungan sawan), penggunaan ubat antiepileptik, dan kesan sampingan.

Kaedah-kaedah

Carian terkini kami untuk kajian-kajian adalah pada 2 Januari 2020. Kami menilai bukti dari lapan percubaan terkawal secara rawak (kajian di mana peserta ditugaskan ke salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) yang melibatkan seramai 241 peserta membandingkan rTMS dengan kawalan rawatan (rawatan palsu, ubat antiepileptik, atau rTMS berfrekuensi rendah).

Hasil kajian

Beberapa percubaan yang disertakan menunjukkan bahawa rTMS mengurangkan jumlah sawan yang dihadapi seseorang berbanding dengan sebelum terapi, tetapi percubaan lain tidak menunjukkan perbezaan yang signifikan dalam frekuensi sawan. Empat percubaan menunjukkan pengurangan pengeluaran epileptiform berikutan rawatan rTMS. Satu kajian mengukur perubahan kualiti hidup dalam tujuh peserta; walaupun tidak dianalisis secara statistik mereka mendapati bahawa sebahagian besar peserta kajian melaporkan peningkatan skor kualiti hidup dengan rawatan aktif berbanding dengan rawatan palsu. Satu percubaan melaporkan peningkatan ubat antiepileptik pada satu individu tetapi mereka telah menerima rawatan kawalan. Kesan sampingan adalah tidak biasa; kesan sampingan yang paling kerap dilaporkan adalah sakit kepala (dan sebahagian besar individu menyelesaikan rawatan dengan rTMS). Walau bagaimanapun, satu kajian menunjukkan peningkatan frekuensi sawan pada dua individu: seorang semasa rawatan rTMS (yang menghentikan rawatan lebih awal), dan seorang lagi beberapa minggu setelah rawatan.

Kepastian bukti

Secara keseluruhan, kami menilai kepastian bukti untuk hasil utama penurunan frekuensi sawan menjadi rendah kerana maklumat yang tidak jelas dalam artikel yang diterbitkan mengenai reka bentuk kajian dan pembentangan hasil yang tidak jelas. Satu kajian yang dimasukkan mengulas mengenai kualiti hidup, tetapi hanya melibatkan tujuh peserta.

Bukti ini adalah terkini sehingga Jun 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information