Risiko kanser endometrium dalam kalangan wanita subsubur yang menjalani rangsangan ovari.

Latar belakang
Untuk rawatan subkesuburan (kelewatan hamil), beberapa ubat digunakan untuk merangsang ovulasi - proses kematangan dan pembebasan telur dari ovari.Ubat-ubat ini mungkin mempengaruhi endometrium, iaitu lapisan tisu yang melapisi rahim (uterus).Walau bagaimanapun, keadaan-keadaan yang menyebabkan subkesuburan adalah faktor risiko bagi kanser endometrium (kanser lapisan rahim) sementara kehamilan dan gabungan pil ubat pencegah hamil oral mempunyai kesan perlindungan, mengurangkan risiko kanser endometrium dengan ketara.Oleh itu, memisahkan kesan ubatan yang diguna untuk merawat subkesuburan daripada punca lain, yang boleh meningkatkan risiko kanser endometrium individu adalah sangat mencabar.

Matlamat ulasan
Untuk mengetahui sama ada ubat yang digunakan untuk merangsang ovulasi meningkatkan risiko kanser endometrium dalam kalangan wanita yang memerlukan bantuan perubatan untuk hamil.

Keputusan utama
Bukti adalah terkini sehingga Julai 2016.Sembilan belas kajian temasuk 1,937,880 peserta dikenal pasti yang membandingkan risiko membentuk kanser lapisan rahim (kanser endometrium) dalam kalangan wanita yang diberi ubat perangsang ovari dengan wanita subsubur yang tidak diberi ubat tersebut, atau wanita dari populasi umum.Secara keseluruhannya, pendedahan kepada clomiphene citrate, terutama dos tinggi dan kitaran berulang, mungkin dikaitkan dengan peningkatan risiko membentuk kanser endometrium apabila tua.Bukti hubungkait di antara pendedahan kepada gonadotropin dan kanser endometrium kurang teguh.Adalah tidak pasti untuk menyatakan sama ada penambahan risiko adalah akibat penggunaan ubat perangsang ovulasi atau sebab subkesuburan yang tersirat.

Kualiti bukti
Kualiti bukti penemuan tersebut adalah sangat rendah kerana kajian yang dimasukkan mempunyai limitasi dan pelbagai perbezaan dalam cara perlaksanaannya.

Apakah rumusannya?
Wanita yang memerlukan rawatan dengan clomiphene citrate perlu berwaspada yang mereka berisiko tinggi untuk kanser endometrium, namun ia berkemungkinan besar akibat keadaan subkesuburan dan adalah tidak mungkin untuk menilai kesan clomiphene citrate berdasarkan data sedia ada.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save