Intervensi (kaedah) untuk mengurangkan duduk di tempat kerja

Mengapa jumlah masa yang dihabiskan untuk duduk di tempat kerja itu penting?

Masa yang diperuntukkan untuk duduk dan tidak aktif secara fizikal di tempat kerja telah meningkat dalam beberapa dekad kebelakangan ini. Masa duduk yang panjang boleh meningkatkan risiko obesiti, penyakit jantung, dan kematian awal. Tidak jelas sama ada intervensi yang bertujuan untuk mengurangkan duduk di tempat kerja berkesan.

Tujuan ulasan ini

Kami ingin mengetahui kesan-kesan intervensi yang bertujuan untuk mengurangkan masa duduk di tempat kerja. Kami telah mencari literatur dalam pelbagai pangkalan data sehingga 9 Ogos 2017.

Apa kajian yang ulasan ini jumpai?

Kami mendapati 34 kajian yang dijalankan dengan sejumlah 3,397 pekerja dari negara berpendapatan tinggi. Enam belas kajian menilai perubahan fizikal pada reka bentuk dan persekitaran tempat kerja, empat kajian menilai perubahan pada dasar tempat kerja, 10 kajian menilai maklumat dan intervensi kaunseling, dan empat kajian menilai intervensi pelbagai kategori.

Kesan duduk-berdiri di meja

Duduk-berdiri di meja mengurangkan masa duduk dengan purata 84 hingga 116 minit sehari. Apabila digabungkan dengan pemberian maklumat dan kaunseling, duduk-berdiri di meja menyebabkan pengurangan yang sama dengan duduk di tempat kerja. Duduk-berdiri di meja mengurangkan jumlah keseluruhan masa duduk (termasuk semasa dan di luar tempat kerja) dan tempoh duduk di tempat kerja yang memakan masa 30 minit atau lebih. Satu kajian membandingkan berdiri di meja dengan duduk-berdiri di meja tetapi disebabkan oleh bilangan pekerja yang sedikit, ia tidak memberikan bukti yang cukup untuk menentukan jenis meja yang berkesan bagi mengurangkan masa duduk.

Kesan stesen kerja aktif

Meja treadmill digabungkan dengan kaunseling mengurangkan masa duduk di tempat kerja, tetapi bukti yang ada tidak cukup untuk membuat kesimpulan sama ada meja berbasikal digabungkan dengan pemberian maklumat dapat mengurangkan duduk di tempat kerja lebih daripada pemberian maklumat sahaja.

Kesan berjalan semasa waktu rehat atau tempoh rehat

Bukti yang ada tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan mengenai keberkesanan berjalan semasa rehat dalam mengurangkan masa duduk. Mengambil rehat yang pendek (satu hingga dua minit setiap setengah jam) mengurangkan masa duduk di tempat kerja sebanyak 15 hingga 66 minit sehari berbanding rehat yang panjang (dua rehat 15 minit setiap hari kerja).

Kesan maklumat dan kaunseling

Pemberian maklumat, maklum balas, kaunseling, atau semua ini mengurangkan masa duduk pada susulan jangka sederhana (3 hingga 12 bulan selepas intervensi) secara purata sebanyak 5 hingga 51 minit sehari. Bukti yang ada tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan mengenai kesan pada susulan jangka pendek (sehingga tiga bulan selepas intervensi). Peringatan komputer yang digabungkan dengan pemberian maklumat mengurangkan masa duduk dalam jangka sederhana dengan purata 14 hingga 96 minit sehari. Bukti yang ada tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan tentang kesan dalam jangka masa pendek.

Satu kajian mendapati bahawa peringatan untuk berdiri mengurangkan masa duduk lebih daripada peringatan untuk melangkah, purata 10 hingga 19 minit sehari.

Bukti yang tersedia tidak mencukupi untuk menyimpulkan sama ada pemberian maklumat peribadi atau kontekstualisasi adalah lebih atau kurang berkesan daripada pemberian maklumat yang kurang peribadi atau kontekstualisasi dalam mengurangkan masa duduk di tempat kerja. Bukti yang ada juga tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan tentang kesan latihan kesedaran dan penggunaan pelacak aktiviti semasa duduk di tempat kerja.

Kesan menggabungkan pelbagai intervensi

Menggabungkan pelbagai intervensi berkesan dalam mengurangkan masa duduk dan masa duduk berkala yang panjang dalam jangka pendek dan jangka sederhana. Walau bagaimanapun, bukti ini datang dari hanya sebilangan kecil kajian dan kesannya sangat berbeza di seluruh kajian.

Kesimpulan

Kualiti bukti adalah sangat rendah untuk kebanyakan intervensi, terutamanya kerana batasan dalam protokol kajian dan saiz sampel kecil. Pada masa ini terdapat bukti yang berkualiti rendah bahawa duduk-berdiri di meja boleh mengurangkan duduk di tempat kerja pada tahun pertama penggunaan mereka. Walau bagaimanapun, kesannya mungkin berkurangan dengan masa. Bukti tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan mengenai kesan tersebut untuk intervensi yang lain dan keberkesanan mengurangkan duduk di tempat kerja lebih dari satu tahun. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menilai keberkesanan pelbagai jenis intervensi untuk mengurangkan duduk di tempat kerja, terutamanya dalam tempoh yang lama.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save