Ubat untuk mengurangkan keradangan dalam kalangan orang dengan demam Mediterranean familial

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti tentang kesan rawatan (contohnya colchicine, anakinra, rilonacept, canakinumab, etanercept, infliximab, thalidomide, interferon-alpha, ImmunoGuard ™ (tambahan herba) dan ubat anti-radang bukan steroid) dalam kalangan orang dengan demam Mediterranean familial (FMF).

Latar belakang

FMF adalah penyakit keradangan keturunan, dengan gejala serangan yang kerap termasuk demam melebihi 38℃, sakit dan keradangan membran yang mengelilingi rongga dada, sendi atau paru-paru. Kami ingin mengetahui sama ada ubat-ubatan ini lebih baik untuk mengurangkan keradangan bagi orang dengan FMF berbanding plasebo (rawatan yang tidak mengandungi ubat aktif) atau tanpa rawatan, dan juga membandingkan ubat ini dengan satu sama lain.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 21 Ogos 2018.

Ciri-ciri kajian

Ulasan iini memasukkan sembilan kajian melibatkan 249 orang dengan FMF berusia antara tiga dan 53 tahun. Tujuh kajian membandingkan empat ubat, colchicine, rilonacept, ImmunoGuard ™ dan anakinra dengan plasebo. Para peserta dipilih untuk menerima satu ubat atau plasebo secara rawak selama tempoh antara satu hingga empat bulan. Dua lagi kajian membandingkan colchicine 1 mg sekali sehari dengan dua hingga tiga kali sehari dalam kalangan kanak-kanak selama enam hingga lapan bulan.

Keputusan utama

Kami berhasrat untuk melaporkan bilangan peserta yang mengalami serangan, masa serangan, pencegahan amiloid A amiloidosis, sebarang kesan sampingan rawatan dan paras sebilangan penanda keradangan semasa serangan. Tidak semua kajian melaporkan hasil-hasil ini. Memandangkan perbezaan dalam rawatan dan reka bentuk kajian, adalah tidak mungkin untuk menggabungkan sebarang keputusan yang kami dapati daripada kajian-kajian ini. Satu kajian (15 peserta) mendapati colchicine oral pada dos 0.6 mg tiga kali sehari boleh membantu mengurangkan bilangan orang dengan serangan FMF. Walau bagaimanapun, colchicine oral yang diberi dengan dos 0.5 mg dua kali sehari (22 peserta), rilonacept (14 peserta) atau anakinra (25 peserta) tidak mengurangkan bilangan orang dengan serangan. ImmunoGuard ™ (24 peserta) tidak mengurangkan paras penanda keradangan dalam darah yang meningkat semasa fasa serangan FMF; ini termasuk kadar kejatuhan sel darah merah apabila dimasukkan ke dalam tabung uji, kiraan sel darah putih dan kehadiran protein C-reaktif (protein yang dihasilkan dalam hati). Anakinra mengurangkan tahap protein C-reaktif. Colchicine sekali setiap hari dan dua hingga tiga kali sehari mungkin tidak menunjukkan hasil yang berbeza termasuk masa serangan, reaksi buruk ubat dan indikator respon fasa akut.

Kualiti bukti

Tiga kajian telah direka dengan baik, manakala yang lain mempunyai beberapa masalah reka bentuk yang mungkin mempengaruhi keputusan. Empat kajian tidak melaporkan dengan jelas cara orang dipilih untuk setiap kumpulan rawatan. Empat kajian tidak melaporkan sama ada penyelidik, yang menilai hasil kajian, mengetahui individu yang diberikan rawatan. Empat kajian tidak menjelaskan sebab-sebab orang yang menarik diri dari kajian dan satu kajian mempunyai peratusan tinggi peserta yang tidak melengkapkan kajian. Kami tidak dapat mengesahkan sama ada setiap hasil yang dirancang dilaporkan di dalam lima kajian. Lima kajian tidak melaporkan keparahan FMF dalam kumpulan pada permulaan rawatan. Kami menilai bukti untuk hasil yang dilaporkan sebagai berkualiti sederhana hingga sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save