Ujian saringan kognitif ringkas (Mini-Cog) untuk penilaian kemungkinan demensia

Dengan peningkatan usia populasi kita, semakin ramai orang tua yang mengadu berkaitan masalah ingatan dan kemungkinannya adalah demensia. Mengenal pasti orang tua yang menghidap demensia adalah penting untuk membantu merancang keperluan penjagaan mereka dan memulakan rawatan khusus demensia. Untuk mendiagnosis demensia, kakitangan penjagaan kesihatan atau penyedia perkhidmatan lain bergantung pada ujian ingatan dan bidang kognisi lain dalam kombinasi dengan penyiasatan tambahan. Ujian memori ringkas, seperti Mini-Cog, mungkin berguna sebagai ujian saringan untuk membantu mengenal pasti individu yang mungkin mendapat manfaat daripada penilaian lebih lanjut untuk menentukan kewujudan demensia. Mini-Cog adalah ujian kognitif ringkas yang melibatkan penilaian kemampuan orang yang lebih tua untuk mengingat tiga perkataan dan melukis jam. Dalam tinjauan ini, kami mencari pangkalan data literasi perubatan untuk mengenal pasti kajian yang menilai sejauh mana Mini-Cog dapat membezakan antara individu yang ada demensia dan mereka yang tidak mengalami demensia jika dibandingkan dengan penilaian mendalam oleh pakar demensia. Ulasan kami memfokuskan pada kajian-kajian yang dijalankan dalam komuniti. Kami mengenal pasti tiga kajian rawak terkawal unik yang menilai Mini-Cog. Dalam kajian-kajian ini, ketepatan Mini-Cog bervariasi dan yang penting terdapat beberapa batasan yang berpotensi dalam kajian-kajian tersebut yang mungkin menyebabkan jangkaan ketepatan Mini-Cog terlalu tinggi. Berdasarkan maklumat yang kami peroleh dari tinjauan kami, kami rasa bahawa penyelidikan lebih lanjut mengenai ketepatan Mini-Cog diperlukan sebelum boleh dicadangkan untuk penggunaan rutin untuk mengenal pasti demensia dalam komuniti.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Saw Le Er (RCSI-UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information