Penambahan vitamin D untuk penyakit sel sabit

Terjemahan ini tidak dikemas kini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan.

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti tentang kesan memberi penambahan vitamin D kepada orang dengan penyakit sel sabit.

Latar belakang

Penyakit sel sabit adalah gangguan sel darah merah warisan yang mempengaruhi jutaan orang di seluruh dunia. Di dalam penyakit sel sabit, sel darah merah menjadi bentuk bulan sabit dan keras dan menyekat saluran darah kecil yang menyebabkan kurang bekalan oksigen kepada tisu dan organ. Sumbatan ini menyebabkan episod sakit, kerosakan organ jangka pendek dan panjang, sindrom dada akut dan strok. Penyakit sel sabit juga boleh membawa kepada komplikasi tulang dalam kedua-dua jangka pendek dan panjang. Sakit dan komplikasi muskuloskeletal adalah sebab paling lazim bagi orang dengan penyakit sel sabit mencari rawatan perubatan; walaupun ia tidak banyak menyumbang kepada mortaliti, ia menjadi penyebab penting penyakit dalam jangka pendek dan panjang.

Kekurangan vitamin D adalah lazim dalam kalangan orang dengan penyakit sel sabit tidak kira umur dan musim. Oleh kerana vitamin D mengawal paras kalsium dan menyokong kesihatan tulang, kekurangannya boleh memburukkan lagi masalah kesihatan muskuloskeletal sedia ada dalam kalangan orang dengan penyakit sel sabit. Oleh itu, kami ingin mengetahui sama ada penambahan vitamin D kepada orang dengan penyakit sel sabit adalah lebih baik atau lebih teruk berbanding daripada memberi sama ada plasebo (bahan yang tidak mengandungi ubat) atau tiada penambahan vitamin D.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga: 15 Disember 2016.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini memasukkan satu kajian yang merekrut 46 orang dengan penyakit sel sabit berumur antara tujuh dan 21 tahun; yang mana 39 orang dipilih secara rawak untuk mengambil tablet vitamin D atau plasebo selama enam minggu dan disusuli selama enam bulan. Kajian melaporkan keputusan daripada 37 orang.

Keputusan-keputusan utama

Orang yang mengambil penambahan vitamin D mempunyai paras vitamin D yang lebih tinggi dalam darah mereka apabila ia diukur selepas lapan, 16 dan 24 minggu. Tiada perbezaan di dalam bilangan orang yang melaporkan kesan sampingan, seperti rasa kesemutan pada bibir atau tangan di antara kumpulan vitamin D dan kumpulan plasebo. Kumpulan vitamin D mempunyai kurang hari sakit berbanding kumpulan plasebo. Kajian tersebut juga melaporkan kualiti hidup berkaitan kesihatan (skor fungsi fizikal). Selepas lapan minggu kumpulan vitamin D mempunyai skor yang lebih teruk berbanding kumpulan plasebo, tetapi perbezaannya adalah lebih besar selepas 16 dan 24 minggu.

Memandangkan keputusan tersebut adalah daripada kajian tunggal yang kecil dengan bukti kualiti sederhana hingga rendah, kami tidak fikir keputusan ulasan kami cukup berkualiti untuk menjadi panduan amalan klinikal. Sehingga bukti lanjutan boleh didapati, klinisian perlu mempertimbang garis panduan sedia ada yang relevan bagi penambahan vitamin D (misalnya Garis Panduan Amalan Klinikal Persatuan Endokrin), dan cadangan untuk pengambilan kalsium dan vitamin D (daripada misalnya Institut Perubatan Amerika Syarikat). Kajian berkualiti tinggi yang melihat kesan penambahan vitamin D dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa dengan penyakit sel sabit adalah diperlukan.

Kualiti bukti

Kami tidak fikir terdapat risiko bias cara orang telah dimasukkan ke dalam kumpulan yang berlainan dan kami tidak fikir sesiapa (sama ada peserta atau doktor) boleh meneka kumpulan mereka apabila kajian bermula. Walaupun kesan buruk tidak dilaporkan dalam laporan asal, penulis kajian memberi maklumat atas permintaan. Lebih ramai orang yang tercicir daripada kumpulan plasebo (68.4%) berbanding kumpulan vitamin D (5%), dan dua orang yang diletakkan dalam kumpulan vitamin D tidak dimasukkan dalam analisis. Kami menganggap terdapat risiko bias yang tinggi dalam cara keputusan kajian dilaporkan. Bukti ini hanya terpakai bagi orang dengan penyakit sel sabit apabila berada dalam keadaan stabil, iaitu sekurang-kurangnya 30 hari dari transfusi darah dan sekurang-kurangnya 14 hari dari sebarang komplikasi akut. Kualiti bukti bagi hasil adalah dari sederhana hingga ke rendah. Kami menganggap kualiti bukti bagi paras darah vitamin D adalah sederhana, dan untuk kesan buruk, hari sakit dan kualiti hidup berkaitan kesihatan, kualiti bukti adalah rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Share/Save