Terapi anti-IL5 untuk asma

Soalan ulasan

Penyelidik mempertimbangkan dalam ulasan ini sama ada mengambil ubat baru mepolizumab, reslizumab atau benralizumab sebagai tambahan kepada rawatan piawaian (misalnya sedutan steroids dan gabungan inhaler) adalah lebih baik daripada plasebo bagi orang yang menghidapi asma.

Latar belakang

Asma adalah satu keadaan radang paru-paru yang bercirikan penyempitan saluran pernafasan, sesak nafas, dada yang ketat dan pengurangan kualiti hidup. Menjelang tahun 2025, mungkin terdapat sehingga 400 juta orang yang menghidap asma di seluruh dunia. Mepolizumab, reslizumab dan benralizumab adalah rawatan 'anti-IL-5' baru yang boleh membantu mengurangkan gejala asma.

Ciri-ciri kajian

Tiga belas kajian membandingkan mepolizumab, reslizumab atau benralizumab dengan plasebo dalam 6000 orang dengan asma, kebanyakannya dengan penyakit yang teruk. Penyelidik merumuskan keputusan yang berkaitan dengan kejadian serangan asma yang memerlukan rawatan tambahan, kualiti hidup, ujian pernafasan, kesan pada "biomarker" darah, dan kesan sampingan.

Keputusan utama

Penyelidik mendapati bahawa pesakit yang mengalami asma yang teruk, yang mempunyai bilangan sel peradangan tertentu (eosinofil) dalam darah, mendapat manfaat daripada mengambil mepolizumab, reslizumab atau benralizumab melalui serangan asma yang berkurangan. Terdapat peningkatan kecil dalam kualiti hidup dan ujian pernafasan, tetapi ini mungkin terlalu kecil untuk dikesan oleh pesakit. Penyelidik bersetuju dengan garis panduan antarabangsa yang mengatakan bahawa rawatan ini boleh ditambah kepada rawatan piawai untuk orang yang mempunyai asma yang teruk. Namun demikian, penyelidik berpendapat bahwa kajian lanjutan adalah diperlukan untuk menjelaskan beberapa aspek, seperti cara untuk menilai tindak balas rawatan dan tempoh untuk memberi rawatan.

Kualiti bukti

Bukti yang dimasukkan dalam ulasan ini didapati daripada kajian yang direka dengan sangat baik. Penyelidik menganggap kajian ini berada pada risiko berat sebelah yang rendah dalam hal-hal penting berikut: prosedur yang menentukan siapa yang menerima rawatan, proses pembutaan dan kejelasan butiran mengenai peserta yang tidak menyelesaikan kajian. Keseluruhan bukti itu adalah berkualiti tinggi hingga sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save