Mepolizumab, reslizumab atau benralizumab untuk orang yang sudah mengambil sedutan steroid dan beta2 bertindak lama untuk asma mereka

Mesej utama

• Ubat asma mepolizumab, reslizumab dan benralizumab mengurangkan serangan asma pada individu terpilih dengan asma yang teruk (mereka yang mempunyai bilangan sel radang yang tinggi dipanggil eosinofil dalam darah mereka).

Terdapat peningkatan kecil dalam skor soal selidik kualiti hidup dan ujian pernafasan, tetapi ini mungkin terlalu kecil untuk dikesan oleh pesakit.

Soalan ulasan

Penyelidik mempertimbangkan dalam ulasan ini sama ada mengambil ubat mepolizumab, reslizumab atau benralizumab sebagai tambahan kepada rawatan piawaian (seperti penyedut steroids dan gabungan penyedut) adalah lebih baik daripada plasebo bagi orang yang menghidapi asma.

Latar belakang

Asma adalah satu keadaan radang paru-paru yang bercirikan penyempitan saluran pernafasan, sesak nafas, dada yang ketat dan pengurangan kualiti hidup. Ia mempengaruhi 350 juta orang di seluruh dunia. Mepolizumab, reslizumab dan benralizumab adalah rawatan 'anti-IL-5' yang boleh membantu mengurangkan gejala asma.

Ciri-ciri kajian

Tujuh belas kajian membandingkan mepolizumab, reslizumab atau benralizumab dengan plasebo dalam 7600 orang dengan asma, kebanyakannya dengan penyakit yang teruk. Penyelidik merumuskan keputusan yang berkaitan dengan kejadian serangan asma yang memerlukan rawatan tambahan, kualiti hidup, ujian pernafasan, kesan pada "biomarker" darah (bilangan sejenis sel radang yang dipanggil eosinofil), dan kesan sampingan.

Hasil utama

Penyelidik mendapati bahawa pesakit yang mengalami asma yang teruk, yang mempunyai bilangan tinggi eosinofil dalam darah, mendapat manfaat daripada mengambil mepolizumab, reslizumab atau benralizumab melalui serangan asma yang berkurangan. Terdapat peningkatan kecil dalam kualiti hidup dan ujian pernafasan, tetapi ini mungkin terlalu kecil untuk dikesan oleh pesakit. Penyelidik bersetuju dengan garis panduan antarabangsa yang mengatakan bahawa ubat-ubatan ini boleh ditambah kepada rawatan piawai untuk orang yang mempunyai asma yang teruk. Penyelidikan lebih lanjut diperlukan untuk menjelaskan beberapa aspek, seperti cara untuk menilai tindak balas rawatan dan tempoh untuk memberi rawatan.

Kualiti bukti

Bukti yang dimasukkan dalam ulasan ini didapati daripada kajian yang direka dengan sangat baik. Penyelidik yakin bahawa peserta dalam kajian telah dimasukkan secara rawak ke dalam kumpulan rawatan yang berbeza, bahawa mereka mahupun pasukan kajian tidak menyedari rawatan yang mereka terima, dan bahawa bilangan kecil yang tidak menghabiskan kajian tidak menjejaskan penemuan.

Ringkasan bahasa yang mudah ini adalah terkini sehngga 7 Februari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information