Yoga untuk wanita dengan diagnosis kanser payudara

Apakah isunya?

Kanser payudara adalah kanser yang paling kerap dalam kalangan wanita di seluruh dunia. Walaupun bilangan wanita yang mandiri barah payudara meningkat, mereka sering mengalami masalah psikologi atau fizikal. Kami ingin mengetahui sama ada yoga boleh meningkatkan kualiti hidup, kesihatan mental dan simptom berkaitan kanser dalam kalangan wanita dengan diagnosis kanser payudara. Kami melibatkan semua jenis yoga tetapi tidak termasuk intervensi pelbagai mod seperti pengurangan tekanan berasaskan kesedaran.

Mengapa ia penting?

Ramai wanita dengan diagnosis kanser payudara mencuba yoga sebagai cara mengatasi simptom mereka. Oleh itu, adalah penting untuk mengetahui sama ada yoga boleh benar-benar membantu wanita-wanita ini. Adalah penting juga untuk mengetahui sama ada sebarang risiko dikaitkan dengan amalan yoga.

Apa yang kami dapati?

Kami menjumpai 24 kajian yang melibatkan 2166 wanita. Bukti kami adalah terkini sehingga Januari 2016. Kami menjumpai 11 kajian yang mana wanita telah menjalani pembedahan, kemoterapi dan radioterapi, tiga kajian yang mana wanita sedang menjalani rawatan kemoterapi; dan lima kajian yang mana wanita sedang menjalani radioterapi. Wanita dalam lima kajian lain sama ada sedang atau tidak menjalani rawatan. Kajian menggunakan pelbagai borang soal selidik untuk menilai kualiti hidup, kemurungan, keletihan dan/atau gangguan tidur.

Kami mendapati bahawa yoga adalah lebih berkesan daripada tiada terapi dalam meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan gangguan tidur dan keletihan. Kami juga mendapati yoga adalah lebih baik untuk mengurangkan kemurungan, kerisauan dan keletihan dalam kalangan wanita jika dibandingkan dengan intervensi psikososial atau pendidikan, seperti kaunseling. Kami juga agak yakin bahawa keputusan yang didapati ini mungkin benar. Yoga mungkin berkesan sebagai senaman dalam meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan keletihan; kami tidak mempunyai data yang cukup untuk memastikan keputusan ini. Kurang kajian melaporkan risiko yoga. Walau bagaimanapun, kami mendapati tiada bukti tentang risiko serius yoga dalam kalangan wanita dengan diagnosis kanser payudara. Tiada kajian yang menilai kesan-kesan yoga dalam kalangan wanita yang didiagnos kanser payudara lebih daripada lima tahun yang lepas.

Apakah maksud ini?

Dapatan kami menunjukkan bahawa wanita yang mempunyai diagnosis kanser payudara boleh menggunakan yoga sebagai rawatan sokongan bagi meningkatkan kualiti hidup dan kesihatan mental, selain daripada rawatan kanser yang standard.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Teoh Ru Jian Jonathan (Penang Medical College). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi jonathanteoh_c2017@ms.pmc.edu.my, Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information
Share/Save