Paratiroidektomi invasif minimum berbanding penerokaan leher bilateral untuk hiperparatiroidisme primer dalam orang dewasa

Soalan ulasan

Adakah paratiroidektomi invasif minimum adalah rawatan pembedahan yang lebih baik berbanding penerokaan leher bilateral klasik untuk orang dengan hiperparatiroidisme primer sporadik?

Latar belakang

Hiperparatiroidisme primer adalah keadaan yang mana satu atau lebih daripada empat kelenjar paratiroid (kelenjar bersaiz kacang pea yang terletak di belakang atau dalam kelenjar tiroid di leher) boleh membesar dan menghasilkan hormon paratiroid yang berlebihan, hormon yang biasanya mengawal metabolisme kalsium dan tulang. Penghasilan hormon paratiroid berlebihan menyebabkan tahap kalsium dalam darah yang tinggi kerana kalsium dikeluarkan dari tulang, menyebabkan peningkatan risiko osteoporosis (tulang lemah) dan batu karang. Perkataan ‘primer’ bermakna gangguan ini berasal dari kelenjar paratiroid dan kebanyakannya disebabkan oleh pertumbuhan benigna sel paratiroid yang berlebihan. Kebanyakan tetapi bukan semua orang dengan hiperparatiroidisme primer tidak mempunyai gejala. Pembedahan untuk membuang kelenjar paratiroid yang berpenyakit (dipanggil paratiroidektomi) merupakan terapi barisan pertama untuk orang yang mengalami gejala, iaitu tulang patah dan batu karang. Paratiroidektomi invasif minimum adalah prosedur yang lebih pendek dan ringkas yang menggunakan imbasan untuk mengenal pasti kelenjar berpenyakit dengan potensi risiko komplikasi yang lebih rendah daripada penerokaan leher bilateral (yang mana kedua-dua sisi leher diterokai untuk mengenal pasti mana dari empat kelenjar yang berpenyakit).

Ciri-ciri kajian

Kami mengenal pasti lima kajian rawak terkawal (kajian klinikal yang mana orang diagihkan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang mendaftarkan sejumlah 266 orang dewasa dengan hiperparatiroidisme primer, yang diagihkan kepada satu daripada dua teknik pembedahan (136 peserta kepada kumpulan paratiroidektomi invasif minimum dan 130 kepada kumpulan penerokaan leher bilateral). Salah satu daripada kajian itu menyusuli peserta sehingga lima tahun, tetapi selebihnya melaporkan data sehingga setahun.

Keputusan utama

Dalam tempoh enam bulan, kejayaan pembedahan diukur dengan tahap kalsium darah yang normal selepas pembedahan, didapati dalam 97% peserta dalam kumpulan paratiroidektomi invasif minimum berbanding dengan 99% dalam kumpulan penerokaan leher bilateral. Lima tahun selepas pembedahan kadarnya adalah 90% dalam kumpulan paratiroidektomi invasif minimum berbanding 95% dalam kumpulan penerokaan leher bilateral. Kira-kira 17% peserta dalam kumpulan paratiroidektomi invasif minimum melaporkan peristiwa tidak diingini sekitar waktu pembedahan berbanding dengan 34% dalam kumpulan penerokaan leher bilateral. Peristiwa-peristiwa ini kebanyakannya terdiri daripada gejala-gejala tahap kalsium yang rendah (seperti kekebasan, kekejangan) berlaku dalam 14% kumpulan paratiroidektomi invasif minimum dan dalam 27% kumpulan penerokaan leher bilateral. Sejumlah 5/133 (4%) peserta dalam kumpulan paratiroidektomi invasif minimum mengalami kelumpuhan pita suara berbanding dengan 2/128 (2%) peserta dalam kumpulan penerokaan leher bilateral. Peristiwa-peristiwa lain termasuk pendarahan, demam dan jangkitan, yang setanding dalam kedua-dua kumpulan. Kesan kematian dari sebarang sebab tidak dilaporkan dengan jelas. Terdapat tiada perbezaan yang jelas untuk kualiti hidup berkaitan kesihatan di antara kumpulan rawatan dalam dua kajian. Terdapat kemungkinan manfaat rawatan untuk paratiroidektomi invasif minimum berbanding penerokaan leher bilateral dari segi kepuasan kosmetik. Tempoh pembedahan adalah kurang 18 minit untuk teknik paratiroidektomi invasif minimum berbanding dengan penerokaan leher bilateral. Empat kajian melaporkan pertukaran dari paratiroidektomi invasif minimum ke penerokaan leher bilateral semasa pembedahan yang mana 24/115 (21%) peserta menjalani pembedahan yang lebih meluas.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah atau sangat rendah terutamanya kerana jumlah kajian dan peserta yang kecil.

Bukti ini adalah terkini sehingga 21 Oktober 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rsciucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save