Intervensi untuk rawatan batu karang saluran kencing dalam kalangan kanak-kanak

Soalan ulasan

Apakah bukti untuk merawat batu karang buah pinggang atau ureter (saluran yang membawa air kencing dari buah pinggang ke pundi kencing) dalam kanak-kanak?

Latar Belakang

Batu karang saluran kencing terjadi dalam sehingga 5 daripada 100 kanak-kanak di negara-negara berpendapatan tinggi. Kadar ini dilihat semakin meningkat. Untuk merawat batu karang saluran kencing dalam kalangan kanak-kanak, pakar urologi menggunakan ubat-ubatan, terapi gelombang kejutan, pembedahan terbuka, dan skop kecil yang dimasukkan ke dalam pundi kencing atau melalui kulit. Adalah tidak jelas bagaimana setiap rawatan ini berfungsi dan apakah kesan-kesan sampingannya.

Ciri-ciri kajian

Kami libatkan 14 kajian dengan sejumlah 978 orang kanak-kanak secara rawak yang mempunyai batu karang samada dalam buah pinggang atau ureter, yang menghubungkan buah pinggang ke pundi kencing. Bilangan kanak-kanak dalam kajian ini berbeza-beza dari 22 hingga 221 orang. Terdapat tujuh kajian yang terdiri dari jenis pembedahan yang berbeza, empat kajian menggunakan ubat-ubatan dan satu kajian yang membandingkan ubat-ubatan dengan pembedahan. Jumlah masa kajian mengikuti peserta berbeza dari satu minggu hingga satu tahun.

Keputusan utama

Gelombang kejutan berbanding ubat-ubatan bagi menghancurkan batu karang: kami tidak pasti mengenai kesan ke atas kejayaan menyingkirkan batu karang, komplikasi-komplikasi serius dan keperluan untuk prosedur kedua bagi merawat batu karang.

Gelombang kejutan yang diberikan secara perlahan-lahan berbanding gelombang kejutan yang diberikan pantas: kami tidak pasti mengenai kesan gelombang kejutan perlahan ke atas kejayaan menyingkirkan batu karang. Kami juga tidak pasti mengenai kesan ke atas komplikasi serius dan keperluan bagi prosedur lain.

Gelombang kejutan berbanding rawatan menggunakan skop menerusi pundi kencing bagi memecahkan batu karang: kami tidak pasti kesan gelombang kejutan ke atas kejayaan menyingkirkan batu karang berbanding dengan penggunaan skop. Kami juga tidak pasti mengenai kesan ke atas komplikasi serius dan keperluan bagi prosedur lain.

Gelombang kejutan berbanding rawatan menggunakan skop menerusi kulit ke dalam buah pinggang: gelombang kejutan berkemungkinan kurang berjaya dalam menyingkirkan batu karang. Gelombang kejutan dilihat mengurangkan kesan buruk yang teruk tetapi kerapnya prosedur sekunder diperlukan untuk menyingkirkan kesemua batu karang.

Penggunaan skop menerusi buah pinggang dengan tiub saliran selepasnya berbanding tanpa tiub saliran: kami tidak pasti mengenai kesan ke atas kejayaan menyingkirkan batu karang, komplikasi serius atau keperluan bagi prosedur seterusnya.

Penggunaan skop melalui buah pinggang dengan tiub yang biasa berbanding dengan tiub yang sangat kecil (“mini”) menerusi kulit: kejayaan menyingkirkan batu karang adalah kemungkinan serupa dalam kedua-dua prosedur. Kami tidak menemui apa-apa data berkaitan peristiwa-peristiwa buruk yang serius. Kami tidak pasti mengenai kesan ke atas keperluan untuk prosedur lain.

‘Alpha-blockers’ berbanding plasebo dengan atau tanpa ibuprofen: ‘alpha-blockers’ mungkin meningkatkan kejayaan penyingkiran batu karang. Kami tidak pasti mengenai komplikasi serius dan keperluan bagi prosedur lain.

Kualiti bukti

Kualiti bukti bagi kebanyakan hasil adalah sangat rendah. Ini bermakna kami sangat tidak pasti dengan kebanyakan penemuan-penemuan ulasan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information