Halangan pengaliran darah anggota badan tempoh singkat untuk mengurangkan kecederaan buah pinggang

Apakah isunya?

Buah pinggang sangat sensitif terhadap kekurangan aliran darah dan juga bekalan oksigen. Ini boleh menyebabkan kecederaan buah pinggang kekal yang mengakibatkan keperluan hemodialisis atau kematian. Kecederaan buah pinggang bukan sahaja berkaitan dengan kekurangan sementara bekalan oksigen, tetapi juga disebabkan oleh ketepuan semula aliran darah. Pada peringkat ini, produk toksik dilepaskan dan memulakan tindak balas badan yang menyebabkan kerosakan sel selanjutnya dalam buah pinggang, yang dikenali sebagai 'kecederaan reperfusi iskemia'. Kekurangan bekalan oksigen kepada kecederaan buah pinggang mungkin mempunyai banyak punca yang berbeza, contohnya perubahan tekanan darah yang mungkin berlaku semasa pembedahan utama.

Apa yang kami buat?

Hipotesis kami ialah tempoh singkat (5 minit) halangan aliran darah ke organ tidak berbahaya boleh mengurangkan kecederaan pada organ ini (prasyarat iskemia setempat), tetapi juga boleh mengurangkan kecederaan pada organ lain pada jarak jauh (prasyarat iskemia jauh). Halangan aliran darah boleh dicapai dengan mudah dan selamat pada anggota badan dengan mengembungkan cuff tekanan darah di sekitar lengan atau kaki. Mekanisme prasyarat iskemia jauh ini tidak diketahui dengan tepat, adalah diandaikan bahawa isyarat pelindung dari organ jauh ke buah pinggang dipindahkan melalui aliran darah atau sistem saraf.

Dalam analisis ini matlamat utama kami adalah untuk menyiasat sama ada prasyarat iskemia jauh adalah selamat dan berkesan dalam mengurangkan kecederaan buah pinggang pada pesakit yang menjalani prosedur (pembedahan) di mana kecederaan buah pinggang mungkin berlaku. Kecederaan buah pinggang selepas pemindahan buah pinggang mungkin mempunyai patofisiologi asas yang berbeza dan oleh itu kajian ini tidak diambil kira. Kesan prasyarat iskemia jauh terhadap keperluan untuk dialisis, kemasukan ke hospital dan kematian akan dinilai.

Apa yang kami temui?

Kami melakukan carian dari semua penulisan yang tersedia pada 8 Ogos 2016 untuk mencari semua kajian rawak terkawal. 28 kajian melibatkan 6851 pesakit telah dimasukkan dalam analisis ini. Lima kajian melibatkan kanak-kanak yang menjalani pembedahan jantung. Kajian dewasa melibatkan pesakit yang menjalani pembedahan vaskular utama (tiga kajian), pembedahan jantung (sembilan kajian), pembedahan pintasan koronari (10 kajian) dan pembedahan separa buah pinggang (satu kajian). Kualiti keseluruhan kajian adalah boleh diterima.

Dua puluh kajian telah dibiayai tanpa faedah ekonomi. Satu kajian dibiayai daripada sumber yang mempunyai kepentingan komersial. Tujuh lagi kajian tidak melaporkan pembiayaan.

Prasyarat iskemia jauh yang dilakukan dengan cuff tekanan darah nampaknya selamat kerana hanya dua daripada 15 kajian melaporkan kesan buruk (6/1999 dalam kumpulan prasyarat iskemia jauh dan 1/1994 dalam kumpulan kawalan). Namun prasyarat iskemia jauh dengan pengapit vaskular boleh menyebabkan komplikasi vaskular. Kecederaan buah pinggang dalam pesakit yang menjalani prosedur (pembedahan) di mana kecederaan mungkin berlaku, tidak dikurangkan dengan prasyarat iskemia jauh yang diukur pada hari pertama, kedua atau ketiga selepas pembedahan. Keperluan untuk dialisis, tinggal di hospital dan kematian adalah tidak dikurangkan oleh prasyarat iskemia jauh.

Kesimpulan

Walaupun prasyarat iskemia jauh oleh inflasi cuff adalah selamat, data yang tersedia tidak mengesahkan keberkesanan prasyarat iskemia jauh dalam mengurangkan kecederaan buah pinggang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information