Kemoterapi selepas pembedahan untuk kanser endometrium tahap III dan IV

Isunya Kanser endometrium lanjut (FIGO tahap III dan IV) adalah kanser rahim yang telah merebak dari rahim ke ovari, faraj, tisu persekitaran lain, nodus limfa yang menyalir, ataupun organ lain. Wanita biasanya dirawat dengan pembedahan untuk membuang sebanyak mungkin tumor. Mereka kemudian ditawarkan radioterapi adjuvan (yang bermaksud 'ditambah') (sinar-x bertenaga tinggi dan sinar lain yang memusnahkan sel-sel kanser), atau kemoterapi (ubat-ubatan anti-kanser), atau kedua-duanya. Terdapat ketidakpastian mengenai rawatan mana (radio atau kemoterapi atau kedua-duanya) selepas pembedahan, yang mempunyai kesan paling besar terhadap kelangsungan hidup, dan mana satu ubat anti-kanser adalah yang paling baik.

Matlamat ulasan Kami ingin menentukan sama ada kemoterapi selepas pembedahan berkesan berbanding radioterapi, dalam kalangan wanita dengan kanser rahim yang lanjut.

Bagaimana ulasan dilaksanakan? Kami mencari literatur dari 1966 hingga November 2013 untuk kajian rawak terkawal (RCT) yang relevan. Kami sertakan empat RCT yang berisiko bias rendah hingga sederhana dan melibatkan 1269 wanita. Kami menulis kepada penyiasat tiga kajian untuk mendapatkan data yang tidak diterbitkan. Tiga daripada empat kajian tersebut membandingkan intervensi yang serupa (kemoterapi berbanding radioterapi selepas pembedahan). Kami kumpulkan data survival (termasuk data yang tidak diterbitkan) daripada dua kajian dan sedang menunggu data yang tidak diterbitkan daripada kajian ketiga. Kajian keempat membandingkan dua jenis rawatan kemoterapi setelah semua wanita menjalani pembedahan dan radioterapi.

Apakah penemuan utama? Wanita yang menerima kemoterapi selepas pembedahan (bermula dalam masa lapan minggu selepas pembedahan) bertahan sekitar 25% lebih lama berbanding mereka yang menerima radioterapi selepas pembedahan. Dengan andaian 60% wanita dengan kanser endometrium tahap III biasanya mampu bertahan sekurang-kurangnya lima tahun selepas pembedahan dan radioterapi, ini akan meningkat kepada 75% jika mereka menjalani pembedahan dan kemoterapi, bergantung kepada faktor risiko lain seperti usia. Risiko kematian yang mungkin akibat rawatan adalah rendah dengan kemoterapi dan radioterapi tetapi kami tidak dapat memastikan yang mana lebih memudaratkan. Kemoterapi mungkin dikaitkan dengan lebih banyak kesan sampingan (tekanan darah rendah, kerosakan saraf dan keguguran rambut) berbanding radioterapi.

Dalam kajian yang membandingkan dua rawatan kemoterapi berbeza, tiada bukti jelas penggunaan tiga ubat anti-kanser adalah lebih baik daripada mengguna dua ubat. Walau bagaimanapun, keputusan akhir survival keseluruhan kajian ini belum dilaporkan. Kesan sampingan teruk lebih lazim ditemui dalam kalangan wanita yang dirawat dengan tiga ubat anti-kanser berbanding dua ubat.

Apakah kesimpulannya? Kemoterapi dilihat lebih berkesan berbanding radioterapi selepas pembedahan dalam kalangan wanita dengan kanser endometrium tahap III dan IV tetapi boleh menyebabkan lebih banyak kesan sampingan. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menentukan sama ada penambahan radioterapi kepada kemoterapi memperbaik hasil dan ubat) anti-kanser mana yang terbaik.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Dr Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information