Suntikan artemeter bagi merawat pesakit malaria yang teruk

Apakah tujuan ulasan ini?

Suntikan artesunate adalah disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk merawat orang dewasa dan kanak-kanak yang menghidap malaria yang teruk kerana kajian telah menunjukkan bahawa ia dapat mengurangkan kematian berbanding dengan rawatan quinine.

Artemeter adalah alternatif kepada perubatan berasaskan artemisinin tetapi ia hanya boleh didapati sebagai larutan pra-campuran yang berasaskan minyak bagi suntikan intramuskular. Penggunaan artemeter kini sangat meluas dan telah digunakan di kebanyakan negara Afrika, walaupun ia tidak disyorkan secara khusus oleh WHO. Tujuan ulasan ini adalah untuk mengkaji kesan merawat pesakit dengan malaria yang teruk dengan memberi suntikan artemeter melalui intramuskular berbanding dengan rawatan yang menggunakan ubat anti-malaria yang lain yang diberikan melalui intramuskular atau intravena.

Mesej utama

Artemeter mungkin tidak lebih berkesan daripada quinine untuk mencegah kematian daripada malaria yang teruk dalam kalangan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, dalam kalangan orang dewasa , artemeter adalah mungkin lebih berkesan daripada quinine untuk mencegah kematian. Berkenaan dengan hasil berorientasikan pesakit yang lain seperti demam dan masa pembebasan daripada parasit, artemeter dilihat menjadi lebih berkesan daripada quinine dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa. Bagi orang dewasa, artemeter mempunyai kesan yang besar ke atas kematian berbanding quinine tetapi hasil lain sebahagian besarnya tidak dilaporkan atau tidak menunjukkan perbezaan yang ketara. Artemeter tidak dibandingkan dengan artesunate dalam kalangan kanak-kanak. Walaupun terdapat sedikit bukti langsung yang membandingkan artemeter dengan artesunate dalam kalangan orang dewasa, artemeter berkemungkinan meningkatkan risiko kematian berbanding dengan artesunate. Dalam keadaan di mana artesunate tidak tersedia, artemeter masih kekal menjadi alternatif yang baik berbanding quinine bagi rawatan untuk malaria yang teruk.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Penulis ulasan telah menyelidik kajian yang sedia ada bagi mengkaji kesan merawat pesakit malaria yang teruk dengan memberikan suntikan artemeter melalui intramuskular berbanding dengan rawatan dengan menggunakan ubat anti-malaria yang lain yang diberikan melalui intramuskular atau intravena. Sembilan belas kajian melihat kepada kesan rawatan suntikan artemeter melalui intramuskular terhadap pesakit malaria yang teruk berbanding dengan rawatan menggunakan ubat anti-malaria yang lain yang diberikan melalui intramuskular atau intravena. Kajian-kajian ini telah dilaksanakan di Afrika (12 kajian) dan di Asia (tujuh kajian). Ini adalah kemas kini daripada 2014 Ulasan Cochrane dan melibatkan kajian yang baru dari Republik Afrika Tengah.

Apakah keputusan utama daripada ulasan?

Artemeter berbanding quinine

Bagi kanak-kanak, suntikan intramuskular artemeter mungkin sama baik dengan quinine untuk mengelakkan kematian daripada malaria yang teruk (bukti kepastian sederhana). Artemeter boleh memendekkan masa resolusi koma sebanyak kira-kira lima jam (bukti kepastian rendah), dan boleh mengurangkan bilangan kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda kerosakan otak pada masa keluar dari hospital (bukti kepastian rendah).

Dalam kanak-kanak yang lebih berusia (> 15 tahun) dan dewasa, rawatan artemeter mungkin menyebabkan pengurangan kematian berbanding quinine (bukti kepastian sederhana).

Artemeter berbanding artesunate

Dalam kalangan orang dewasa, artemether menunjukkan prestasi lebih buruk berbanding artesunate dari segi kadar kematian (bukti kepastian sederhana), tetapi tiada kajian uang telah dijalankan dalam kalangan anak-anak kecil.

Sejauh manakah ulasan ini dikemaskini?

Penulis ulasan mencari kajian-kajian sehingga 7 September 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Faizul Fitri bin Mat Nazri (RCSI UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information