Apakah faedah dan risiko belimumab dalam mengubati lupus eritematosus sistemik (penyakit autoimun yang menjejaskan seluruh tubuh badan)?


Mengapa soalan ini penting?

Lupus erythematosus sistemik (SLE; atau 'lupus') adalah penyakit bila mana sistem kekebalan tubuh secara salah menyerang tisu-tisu sihat bahagian badan. Ia adalah penyakit jangka panjang (penyakit yang berlangsung lebih lama daripada enam minggu dan biasanya seumur hidup). Selalunya, SLE menyebabkan sakit pada sendi dan otot, dan keletihan yang melampau. Gejala boleh bertambah baik untuk sementara, atau bertambah teruk secara tiba-tiba (suar).

Tiada penawar untuk SLE. Namun begitu, terdapat rawatan yang boleh menambah baik gejalanya. Keradangan yang disebabkan oleh lupus boleh mempengaruhi sendi, kulit, ginjal, sel darah, otak, jantung, dan paru-paru. Sebilangan besar orang dirawat dengan glukokortikoid (ubat anti-radang; juga disebut "steroid/prednisone/medrol/solumedrol") pada sesuatu masa dalam perjalanan penyakit mereka. Ubat-ubatan ini mengurangkan bengkak dan kesakitan yang berkaitan dengan keradangan, tetapi boleh memberi kesan buruk (tidak diingini) yang serius, seperti kerosakan ginjal. Inilah sebabnya mengapa ianya penting untuk mengkaji pilihan rawatan lain, seperti belimumab.

Belimumab adalah protein manusia (antibodi) yang diberikan melalui suntikan untuk mengurangkan keradangan. Pada orang dengan SLE, belimumab menghalang perkembangan dan kelangsungan hidup sel yang menyerang tisu sihat tubuh (sel B). Tujuan belimumab adalah untuk mengurangkan bilangan sel B supaya gejala SLE bertambah baik.

Untuk mengetahui faedah dan risiko belimumab, pengulas meninjau bukti daripada kajian penyelidikan. Khususnya, pengulas ingin mengetahui kesan belimumab terhadap:

- intensiti penyakit;

- kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan:

- penggunaan glukokortikoid; dan

- kesan buruk, termasuk: kesan serius (misalnya, penyakit yang mempengaruhi buah pinggang atau sistem saraf), jangkitan serius (kerana ubat-ubatan anti-radang mengurangkan kemampuan tubuh untuk melawan jangkitan), kesan buruk yang menyebabkan orang menarik diri daripada kajian, dan kematian.


Bagaimana pengulas mengenal pasti dan menilai bukti?

Pertama, pengulas mencari literatur perubatan untuk kajian yang membandingkan belimumab dengan rawatan plasebo (sulih) atau rawatan SLE yang lain. Pengulas kemudiannya membandingkan keputusan dan merumuskan bukti dari semua kajian. Akhirnya, pengulas menilai keyakinan mereka terhadap bukti tersebut, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi semua kajian.


Apa yang pengulas dapati?

Pengulas menjumpai enam kajian yang melibatkan seramai 2917 orang (kebanyakannya wanita) yang berumur antara 22 hingga 80 tahun. Orang ini diikuti selama minimum 84 hari dan maksimum 76 minggu. Semua kajian membandingkan belimumab dengan plasebo.

Keamatan penyakit

Belimumab lebih baik daripada plasebo dalam mengurangkan intensiti SLE (4 kajian, 2666 orang). SLE menjadi kurang serius pada 52% orang yang dirawat dengan belimumab, berbanding dengan 39% orang yang dirawat dengan plasebo.

Kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan

Bukti menunjukkan bahawa mungkin sedikit atau tiada perbezaan antara belimumab dan plasebo untuk perubahan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan (2 kajian, 801 orang). Skor kualiti hidup yang dilaporkan oleh orang yang dirawat dengan belimumab secara puratanya hanya 1.6 markah lebih tinggi daripada orang yang dirawat dengan plasebo (skala: 0 hingga 100, skor yang lebih tinggi = kualiti hidup yang lebih baik).

Keperluan untuk glukokortikoid (ubat anti-radang)

Belimumab lebih cenderung daripada plasebo untuk mengurangkan jumlah glukokortikoid yang diperlukan. Dos glukokortikoid direndahkan sekurang-kurangnya 50% pada 30% orang yang dirawat dengan belimumab, berbanding 19% orang yang dirawat dengan plasebo (2 kajian, 537 orang).

Kesan buruk yang serius

Bukti menunjukkan bahawa mungkin sedikit atau tiada perbezaan dalam jumlah kejadian buruk yang disebabkan oleh belimumab atau plasebo (5 kajian, 2890 orang). Pengulas kurang yakin dengan penemuan ini, kerana ia berdasarkan bilangan kejadian buruk yang secara relatifnya kecil dan kajian-kajian melaporkan penemuan yang bertentangan.

Jangkitan yang serius

Bukti menunjukkan bahawa mungkin sedikit atau tiada perbezaan dalam jumlah kejadian buruk yang disebabkan oleh belimumab atau plasebo (4 kajian, 2185 orang). Pengulas hanya mempunyai keyakinan yang sederhana terhadap penemuan ini, kerana berdasarkan sejumlah kecil jangkitan.

Kejadian buruk menyebabkan orang menarik diri daripada kajian

Bukti menunjukkan bahawa mungkin ada sedikit atau tidak ada perbezaan antara belimumab dan plasebo dalam jumlah kejadian buruk yang menyebabkan orang menarik diri daripada kajian (5 kajian, 2890 orang). Pengulas hanya mempunyai keyakinan yang sederhana terhadap penemuan ini, kerana berdasarkan sejumlah kecil kejadian buruk.

Kematian

Beberapa kematian (kurang dari 1%) dilaporkan berkaitan dengan belimumab atau plasebo. Ini menunjukkan bahawa mungkin sedikit atau tiada perbezaan dalam jumlah kematian antara kedua-dua rawatan, namun, kerana kematian jarang terjadi, sukar untuk diyakini dengan penemuan ini.


Apakah maksud ini?

Apabila dibandingkan dengan plasebo:

- belimumab lebih cenderung mengurangkan aktiviti penyakit SLE, dan mengurangkan jumlah glukokortikoid yang diperlukan;

- belimumab mungkin memberi sedikit hingga tiada perbezaan terhadap: peningkatan kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan; bilangan kejadian buruk yang serius; dan kematian; dan

- belimumab boleh memberi sedikit atau tiada perbezaan terhadap jumlah jangkitan serius, dan jumlah kejadian buruk yang menyebabkan orang menarik diri daripada kajian.


Seberapa terkinikah ulasan ini?

Bukti kajian dalam Ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga September 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save