Intervensi sokongan rakan sebaya untuk ibu bapa dan penjaga kanak-kanak dengan keperluan yang kompleks

Soalan ulasan

Ulasan ini menilai sama ada intervensi sokongan rakan sebaya meningkatkan hasil untuk ibu bapa dan orang lain yang menjaga kanak-kanak dengan pelbagai keperluan yang kompleks (seperti penyakit akut yang kronik atau teruk, hilang upaya, atau perkembangan yang lewat).

Latar belakang

Ibu bapa dan penjaga keluarga lain yang menjaga kanak-kanak dengan keperluan yang kompleks mungkin mengalami peningkatan kesusahan dan pengurangan kesejahteraan. Intervensi sokongan rakan sebaya bertujuan untuk membantu orang yang menjaga kanak-kanak mendapatkan sokongan sosial daripada orang lain yang memahami situasi mereka. Sokongan rakan sebaya boleh diberikan dalam kumpulan, yang kadangkala diketuai oleh fasilitator, atau boleh berlaku apabila orang dipadankan dengan ibu bapa individu yang mempunyai pengalaman menjaga kanak-kanak dengan keadaan yang sama.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan penyelidikan sehingga 21 Februari 2018. Kajian rawak terkawal (RCT), RCT kluster, kuasi-RCT, kajian sebelum dan selepas yang terkawal, dan kajian siri masa yang terganggu semuanya layak untuk disertakan. Kajian disertakan jika mereka mengukur kesusahan, keyakinan, perasaan mengatasi, kualiti hidup, cara keluarga berfungsi, perasaan sokongan, atau keyakinan dalam menangani perkhidmatan dalam kalangan ibu bapa atau mana-mana penjaga keluarga lain. Kanak-kanak yang dijaga boleh mempunyai pelbagai keadaan (contohnya, penyakit akut yang kronik atau teruk, hilang upaya, apa-apa jenis perkembangan yang lewat atau luar biasa).

Keputusan

Kami menemui 22 kajian tentang 2404 peserta yang menjaga kanak-kanak dengan pelbagai keadaan. Semua kajian adalah RCT atau kuasi-RCT dan membandingkan sokongan rakan sebaya dengan penjagaan biasa (perbandingan 1) atau dengan intervensi lain (perbandingan 2). Sokongan rakan sebaya disampaikan di hospital dan dalam komuniti. Walaupun kami menemui kajian yang menilai kesan sokongan rakan sebaya pada semua hasil dalam perbandingan 1, dan beberapa hasil dalam perbandingan 2, kami tidak melihat sebarang manfaat daripada sokongan rakan sebaya berbanding penjagaan biasa atau dibandingkan dengan intervensi lain. Kami tidak menemui kajian yang melaporkan kesan buruk (seperti tekanan daripada mendengar cerita orang lain atau konflik dengan ahli kumpulan). Maklum balas daripada ibu bapa dan penjaga mencadangkan bahawa mereka menghargai sokongan emosi, pengesahan pengalaman mereka, dan akses kepada pengetahuan yang mereka temui dalam kumpulan sokongan rakan sebaya. Lebih banyak maklumat adalah diperlukan tentang latihan dan penyeliaan pemimpin sokongan rakan sebaya, dan tentang sama ada ramai peserta menarik diri daripada kumpulan (dan jika ya, mengapa).

Kualiti keseluruhan bagi bukti untuk setiap hasil adalah rendah hingga sangat rendah, dan disebabkan ini, kepastian kami tentang penemuan ini adalah rendah. Ini bermakna penyelidikan lanjut berkemungkinan mengubah penemuan ini sambil memperjelas kemungkinan manfaat atau mudarat intervensi sokongan rakan sebaya.

Kesimpulan

Pada masa ini, kami tidak pasti sama ada sokongan rakan sebaya membantu atau membahayakan ibu bapa dan penjaga kanak-kanak dengan keperluan yang kompleks.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Cheryl Chan Zhi Ying (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information