Adakah intervensi perubatan mengurangkan keretakan tulang berkaitan radiasi dan risiko nekrosis avaskular di kalangan dewasa yang menjalani radioterapi pelvis?

Apakah isunya?
Kajian menunjukkan radioterapi pelvis boleh menyebabkan perubahan dalam tulang pelvis, yang boleh mengakibatkan keretakan berlaku dari trauma ringan (digelar keretakkan lemah) dan kerosakan kekal pada tulang berikutan bekalan darah yang terganggu (digelar nekrosis avaskular). Keadaan ini boleh mendatangkan kesakitan, masalah dengan pergerakan, kemasukan ke dalam hospital, keperluan untuk pembedahan dan kematian. Ulasan ini meneliti ulasan literasi perubatan berkaitan ubat-ubatan yang diberikan sebelum atau ketika radioterapi pelvis, untuk menentukan sama ada ubat-ubatan ini boleh mengurangkan kejadian keretakkan lemah dan nekrosis avaskular, dan meningkatkan kesihatan tulang serta kualiti hidup.

Bagaimanakah kami menjalankan ulasan ini?
Kami meneliti kepustakaan perubatan sehingga April 2017 berkaitan kajian intervensi yang bertujuan mencegah keretakan dan nekrosis avaskular pada orang yang menjalani rawatan radioterapi sebagai sebahagian rawatan kanser, dengan tujuan untuk mengumpul data dari kajian berbeza jika perbandingan kajian adalah serupa.

Apakah bukti yang kami temui?
Kami menemui dua kajian di mana orang dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan (dipanggil kajian terkawal rawak) yang munasabah dengan topik ulasan secara rawak. Kedua-dua kajian, yang melibatkan 1167 peserta kesemuanya, dijalankan ke atas lelaki yang menjalani radioterapi untuk kanser prostat dan menilai ubat bifosfonat yang dipanggil asid zoledronik. Pesakit lelaki ini juga menerima rawatan hormon untuk masalah seperti penurunan ketumpatan mineral tulang (BMD; berapa banyak mineral yang ada dalam tulang, yang menentukan betapa padu dan kuat tulang itu) yang merupakan kesan sampingan rawatan ini. Kajian mengukur dan melaporkan hasil berbeza dan kami tidak dapat mengumpulkan keputusan kajian (data); bagaimanapun, bukti terhad mencadangkan bahawa asid zoledronik mungkin meningkatkan BMD dalam kumpulan khusus ini (lelaki dengan kanser prostat) yang menerima kedua-dua rawatan hormon dan radioterapi. Terdapat beberapa keretakan atau nekrosis avaskular dalam kajian, oleh itu sama ada asid zoledronik mempunyai kesan ke atas hasil penemuan penting ini tidak dapat di pastikan. Memandangkan kajian tidak direka khusus untuk menilai kesan asid zoledronik ke atas kesan radioterapi berkaitan tulang, dan peserta juga menerima rawatan hormon, maka tidak dapat dipastikan jika bukti terpakai ke atas orang yang menjalani radioterapi pelvis untuk kanser lain dan orang menerima rawatan hormon sebagai adjuvan.

Kedua-dua kajian berisiko berat sebelah yang sederhana hingga tinggi dan semua bukti dinilai sebagai kepastian yang sangat rendah.

Apakah maksudnya?
Tiada bukti yang mencukupi untuk menunjukkan asid zoledronik dan ubat-ubatan lain menegah komplikasi tulang disebabkan radioterapi. Ulasan ini menguatkan keperluan bagi ujian klinikal dalam melakukan intervensi sebelum dan ketika radioterapi untuk mengelakkan morbiditi berkaitan radiasi tulang, keretakan lemah dan nekrosis avaskular.

Nota terjemahan: 

Diterjemah Siti Amira Sariyathul Rusly. Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information