Gabungan ubat-ubatan berbanding dengan ubat tunggal untuk merawat fibromyalgia pada orang dewasa

Kesimpulannya

Tiada bukti yang baik untuk membuktikan atau menyangkal bahawa menggabungkan ubat lebih baik daripada menggunakan ubat tunggal untuk fibromyalgia.

Latar belakang

Orang dengan fibromyalgia mengalami kesakitan yang meluas dan berterusan, masalah tidur, dan keletihan. Ubat-ubatan biasa seperti paracetamol (acetaminophen) dan ibuprofen biasanya tidak berkesan. Ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat epilepsi atau kemurungan kadang-kadang boleh berkesan untuk fibromyalgia dan lain-lain bentuk kesakitan yang tahan lama di mana mungkin terdapat kerosakan saraf. Ramai individu dengan fibromyalgia mengambil ubat yang berbeza untuk menangani kesakitan. Kami melakukan ulasan ini untuk mencari bukti mengenai penggunaan gabungan ubat-ubatan berbanding dengan ubat tunggal.

Ciri-ciri kajian

Pada September 2017 kami mencari kajian klinikal di mana kombinasi ubat digunakan untuk kesakitan fibromyalgia pada orang dewasa. Kami mendapati terdapat 16 kajian yang mengkaji gabungan ubat-ubatan berbanding dengan ubat tunggal untuk kesakitan akibat daripada fibromyalgia.

Keputusan-keputusan utama

Kajian-kajian ini melihat kepada gabungan pelbagai jenis ubat-ubatan yang berbeza, tetapi tidak menyediakan data yang mencukupi untuk membuat kesimpulan. Banyak kajian tidak secara langsung membandingkan kombinasi ubat dengan setiap ubat tunggal. Mereka kadang-kadang membandingkan gabungan ubat-ubatan dengan hanya satu daripada ubat-ubatan dalam kombinasi, atau hanya dengan plasebo. Ini mengehadkan keupayaan kami untuk membuat sebarang kesimpulan.

Kebanyakan kajian tidak melaporkan sebarang hasil yang penting kepada orang yang mengalami fibromyalgia. Beberapa kajian menunjukkan bahawa kombinasi ubat adalah lebih baik untuk mengurangkan kesakitan daripada satu ubat sahaja, tetapi kajian lain menunjukkan bahawa satu ubat sahaja lebih baik daripada gabungan ubat-ubatan. Kajian-kajian lain tidak menemui sebarang perbezaan antara gabungan ubat-ubatan dan ubat-ubatan tunggal.

Kesan sampingan adalah tidak teruk, dan secara amnya tidak berbeza antara terapi gabungan dan monoterapi.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti dari kajian-kajian menggunakan empat peringkat: sangat rendah, rendah, sederhana, atau tinggi. Kualiti bukti yang sangat rendah bermakna kita sangat tidak pasti tentang hasilnya. Bukti yang berkualiti tinggi bermakna bahawa kami sangat yakin dengan hasilnya. Secara keseluruhannya, kualiti bukti untuk hasil penting adalah sangat rendah. Tiada kombinasi ubat menyediakan maklumat yang mencukupi untuk hasil pilihan kami. Kami berpendapat bahawa kajian baru mungkin akan mengubah kesimpulan yang diperoleh dari kajian-kajian ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save