Adakah terapi psikologi berkesan untuk merawat kemurungan yang tidak bertambah baik dengan rawatan sebelumnya?

Soalan ulasan

Adakah terapi psikologi merupakan rawatan yang berkesan untuk pesakit dewasa dengan kemurungan rintang rawatan (treatment-resistant depression, TRD)?

Latar belakang

Kemurungan adalah masalah lazim yang sering dirawat dengan ubat antidepresi. Walau bagaimanapun, ramai pesakit yang tidak bertambah baik dengan antidepresi. Pesakit sebegini boleh dikatakan mempunyai TRD. Bagi mereka, beberapa rawatan berbeza boleh dicuba - seperti meningkatkan dos ubatan yang diambil, menambah ubatan lain, atau bertukar kepada ubatan yang baru. Satu lagi pilihan ialah dengan menambah atau bertukar kepada psikoterapi. Bukti menunjukkan bahawa psikoterapi boleh membantu dalam kemurungan. Apa yang tidak kita ketahui ialah sama ada psikoterapi berkesan untuk pesakit TRD. Ulasan ini bertujuan untuk menjawab soalan ini.

Tarikh pencarian

Pencarian adalah terkini setakat Mei 2017.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan enam kajian rawak (kajian di mana peserta diperuntukkan secara rawak (secara kebetulan) untuk menerima salah satu rawatan yang dibandingkan). Kjian-kjian ini melibatkan 698 orang dan menguji tiga jenis psikoterapi yang berbeza. Kesemua kajian melihat sama ada penambahan psikoterapi kepada rawatan perubatan sedia ada membawa kepada penambahbaikan dalam kemurungan.

Sumber pembiayaan kajian

Kesemua kajian dibiayai oleh badan penyelidikan awam.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa pesakit yang menerima psikoterapi beserta penjagaan biasa dengan antidepresan mempunyai gejala kemurungan yang lebih sedikit dan lebih kerap bebas dari kemurungan pada enam bulan kemudiannya berbanding pesakit yang meneruskan penjagaan biasa sahaja. Kami sederhana yakin dengan penemuan ini, yang bermakna bahawa kesan sebenar penambahan terapi kognitif-tingkah laku mungkin berbeza daripada apa yang kami dapati, walaupun penemuan mungkin hampir sama. Kami juga mendapati bahawa penambahan psikoterapi boleh diterima oleh pesakit seperti mana penjagaan biasa sahaja. Dua kajian mencatatkan manfaat yang serupa selepas 12 bulan, dan satu kajian pada 46 bulan.

Dua kajian melaporkan kesan berbahaya di kalangan pesakit yang menerima hanya penjagaan biasa (seorang pesakit bunuh diri, dua orang pesakit dimasukkan ke hospital) tetapi tiada di kalangan pesakit yang menerima psikoterapi sebagai tambahan kepada penjagaan biasa.

Kualiti bukti

Disebabkan peserta sedar akan rawatan yang mereka terima, dan oleh kerana kami mengenal pasti hanya sebilangan kecil kajian, kami menggredkan bukti sebagai berkualiti sederhana untuk penemuan pada enam bulan dan berkualiti rendah untuk keputusan jangka panjang. Penilaian ini mungkin berubah pada masa akan datang, sekiranya terdapat keputusan kajian yang lebih berkualiti .

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USM). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information